Covid-19: 2 kes baru jangkitan tempatan, rakyat diingatkan terus waspada
Covid-19: 2 kes baru jangkitan tempatan, rakyat diingatkan terus waspada

Covid-19: 2 kes baru jangkitan tempatan, rakyat diingatkan terus waspada

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 28 Ogos 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 10 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,306 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 151 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada 10 kes baharu yang dilaporkan, lapan (8) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara satu (1) warganegara Malaysia dan tujuh (7) bukan warganegara. Lapan (8) kes import tersebut adalah dari negara:

  1. India (5 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 2 kes di Selangor); dan
  2. Filipina (1 kes di Sarawak).

Daripada dua (2) kes penularan di dalam negara, satu (1) kes adalah warganegara Malaysia dan satu (1) kes bukan warganegara. Kes warganegara Malaysia yang dikesan di negeri Kedah adalah daripada saringan bergejala. Manakala kes bukan warganegara yang dikesan di negeri Selangor adalah kes saringan tahanan yang merupakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil.

Sehingga kini, terdapat lapan (8) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana enam (6) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes (1.34 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

PENULARAN COVID-19 DI LUAR DAN DI DALAM NEGARA

Tren kejadian jangkitan COVID-19 di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa dipantau rapi bagi memastikan tindakan kawalan bagi mencegah penularan jangkitan dalam negara Malaysia diambil segera. Kawalan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Negara dipertingkatkan di mana semua pengembara yang tiba di PMA Negara akan melalui proses saringan kesihatan, pengambilan swab bagi ujian COVID-19, memuat turun aplikasi MySejahtera dan menjalani self-quarantine di stesen kuarantin selama 14 hari.

Sehingga 27 Ogos 2020, daripada 106,793 pengembara telah tiba di Malaysia, sebanyak 904 kes dikesan positif COVID-19 (kadar positiviti sebanyak 0.85%). Daripada 904 kes yang dikesan, tiga (3) negara yang mencatatkan kes yang tertinggi adalah daripada negara Indonesia iaitu sebanyak 295 kes (32.6%), diikuti dengan negara Mesir 93 kes (10.3%) dan negara Singapura 70 kes (7.7%). Malaysia akan terus memperketatkan aktiviti kesihatan awam yang dijalankan di PMA Negara bagi memastikan jangkitan COVID-19 di luar negara dapat disekat.

Bagi membendung penularan jangkitan COVID-19 di dalam negara, masyarakat Malaysia perlu bersama-sama memainkan peranan masing-masing kerana ini merupakan tanggungjawab sosial setiap individu. KKM menggesa masyarakat agar terus mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan setiap masa.

Mengambil kira sambutan Hari Kebangsaan akan diadakan pada 31 Ogos 2020, cuti hujung minggu ini adalah panjang. Justeru, masyarakat disarankan untuk mengelakkan sebarang perhimpunan besar-besaran dan mengikut norma baharu serta semua SOP yang ditetapkan. KKM juga ingin menekankan bahawa pemakaian alat pelitup muka (facemask) adalah diwajibkan di tempat yang sesak dan sempit oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020, terutamanya sekiranya penjarakan fizikal (physical distancing) sukar diamalkan.

Sumber: KP Kesihatan Malaysia

(Visited 10 times, 1 visits today)

COMMENTS