Covid-19: 2 kluster baru di kesan!
Covid-19: 2 kluster baru di kesan!

Covid-19: 2 kluster baru di kesan!

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 30 Ogos 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 17 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,334 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 160 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada 17 kes baharu yang dilaporkan, 15 kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan 11 warganegara Malaysia dan empat (4) bukan warganegara. 15 kes import tersebut adalah dari negara:

  1. India (12 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur);
  2. Arab Saudi (2 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); dan
  3. Jepun (1 kes di Sarawak).

Dua (2) kes penularan di dalam negara adalah di kalangan warganegara Malaysia. Perincian kes adalah seperti berikut:

  • Selangor: satu (1) kes saringan kontak rapat kes positif ke-9286. Kluster ini akan diperincikan di bawah; dan
  • Kedah: satu (1) kes saringan kontak rapat kes positif ke-9284. Kluster ini akan diperincikan di bawah.

Sehingga kini, terdapat tujuh (7) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana lima (5) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu (1) kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 126 kes (1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes):

  • Kes kematian ke-126 (kes ke-9290) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 75 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, Chronic Obstructive Pulmonary Disease (COPD) dan penyakit jantung. Beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara. Beliau mula mempunyai gejala batuk dan sesak nafas pada 7 Ogos 2020 dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah bagi jangkitan paru-paru (pneumonia). Beliau discaj dari hospital pada 18 Ogos 2020. Beliau mengalami gejala batuk dan sesak nafas pada 21 Ogos 2020 dan mendapatkan rawatan pada 24 Ogos 2020 di Hospital Sultanah Bahiyah. Ujian saringan menunjukkan beliau adalah positif COVID-19. Keadaan kesihatan beliau didapati semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 29 Ogos 2020 jam 5.10 petang.

KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau.

KLUSTER MV GLEN, SELANGOR

KKM ingin memaklumkan bahawa satu kluster baharu yang telah dikenal pasti di sebuah kapal di Pelabuhan Klang, Selangor. Kes indeks merupakan kes ke-9286 yang dilaporkan positif pada 25 Ogos 2020. Kes indeks merupakan seorang krew kapal. Kes positif telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan diberi rawatan.

Saringan COVID-19 dijalankan dan sehingga 30 Ogos 2020, sejumlah lapan (8) orang telah disaring dalam kluster ini. Daripada jumlah ini:

  • Dua (2) kes dikesan positif COVID-19; dan
  • Enam (6) individu adalah negatif.

Kes indeks bagi kluster ini merupakan kes import yang melibatkan satu (1) bukan warganegara manakala kes kedua merupakan kes tempatan yang melibatkan satu (1) warganegara Malaysia yang merupakan agen yang dilantik oleh syarikat perkapalan. Aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat masih dijalankan. Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di kapal tersebut. Punca jangkitan masih dalam siasatan.

Saringan kesihatan sign-on dan sign-off adalah penting kerana ini merupakan salah satu kawalan sempadan antarabangsa yang dijalankan bagi mengekang aliran kemasukan individu yang berpontensi dijangkiti COVID-19 ke dalam negara. Justeru, kawalan ini perlu terus dipertingkatkan bagi mengelakkan penularan penyakit COVID-19.

KLUSTER TELAGA, KEDAH

KKM ingin memaklumkan bahawa satu kluster baharu telah dikenal pasti di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah. Kes merupakan kontak rapat kepada kes indeks yang dikesan positif pada 24 Ogos 2020 (kes ke-9284). Kes tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk diberi rawatan. Kedua-dua kes ini merupakan petugas kesihatan di hospital tersebut namun tugasan tidak melibatkan jagaan kes yang disahkan positif COVID-19. 

Sehingga 30 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, sejumlah 374 orang telah disaring dalam kluster ini melibatkan ahli keluarga, kakitangan hospital dan lain-lain. Daripada jumlah ini:

  • Dua (2) kes dikesan positif COVID-19; dan
  • 372 individu adalah negatif.

Sebagai langkah kawalan, lebih banyak saringan tertumpu di hospital akan dijalankan. Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti pembersihan dan proses nyah kuman juga telah dijalankan di premis yang berkaitan. Perkhidmatan Hospital Sultanah Bahiyah tidak terjejas dan tetap berjalan seperti biasa. Punca jangkitan masih dalam siasatan namun besar kemungkinan ianya disyaki berpunca dari kalangan komuniti

Sumber: KP Kesihatan Kedah

(Visited 3 times, 1 visits today)

COMMENTS