Covid-19: 58 kes baru hari ini, kluster Laut dikenalpasti kluster terbaru
Covid-19: 58 kes baru hari ini, kluster Laut dikenalpasti kluster terbaru

Covid-19: 58 kes baru hari ini, kluster Laut dikenalpasti kluster terbaru

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat lapan (8) kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 9,189 kes (93.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 12 September 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 58 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak9,868 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 551 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada 58 kes baharu yang dilaporkan, lima (5) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga (3) warganegara Malaysia dan dua (2) bukan warganegara. Lima (5) kes import tersebut adalah dari negara:

  • Pakistan (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur – warganegara Malaysia);
  • India (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur – warganegara Malaysia);
  • Indonesia (1 kes di Selangor – warganegara Malaysia);
  • Syria (1 kes di Selangor – warganegara Syria); dan
  • Filipina (1 kes di Sabah – Pendatang Asing Tanpa Izin, warganegara Filipina). Kes ini merupakan kes indeks bagi Kluster Laut yang akan diperincikan di bawah.

Daripada 53 kes penularan di dalam negara, 29 kes adalah warganegara Malaysia manakala 24 kes adalah bukan warganegara. Perincian kes mengikut negeri adalah seperti berikut:

  1. Sabah: 48 kes di mana 24 adalah bukan warganegara
  2. 44 kes daripada Kluster Benteng LD di mana 21 adalah bukan warganegara; dan
  3. Tiga (3) kes daripada Kluster Laut yang melibatkan semua bukan warganegara.
  4. Kedah: 5 kes daripada Kluster Sungai.

Kluster-kluster ini akan diperincikan di bawah.

Sehingga kini, terdapat sembilan (9) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana lima (5) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes (1.30 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

KLUSTER LAUT

KKM ingin memaklumkan bahawa satu kluster baharu telah dikenalpasti di kalangan Pendatang Tanpa Izin (PATI) di Kunak, Sabah. Kes indeks kluster (iaitu kes ke-9859) adalah seorang tahanan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau yang telah dihantar balik ke negara asal iaitu Zamboanga, Filipina pada 27 Ogos 2020. Namun demikian, pada 5 September 2020, kes menyusup masuk ke Sabah dari Zamboanga, Filipina melalui jalan tikus untuk melawat isteri kes. Isteri kes (iaitu kes ke-9860) pula dikesan positif COVID-19 pada 8 September 2020 semasa saringan rujukan dari Hospital Kunak ke Hospital Tawau bagi rawatan lanjut komplikasi pendarahan selepas bersalin.

Beliau didapati mula bergejala pada 6 September 2020. Hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat, dua (2) lagi kes positif COVID-19 telah dikesan, iaitu anak dan jiran kes indeks (iaitu kes ke-9861 dan kes ke-9862). Sehingga 12 September 2020, sejumlah 49 telah disaring dalam kluster ini. Kesemua saringan ini melibatkan warganegara Filipina. Daripada jumlah ini:

  • Empat (4) kes dikesan positif COVID-19;
  • 14 individu negatif; dan
  • 31 individu masih menunggu keputusan.

Langkah pencegahan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan pembersihan telah dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenalpasti. Punca jangkitan masih di dalam siasatan.

STATUS TERKINI KLUSTER BENTENG LD DAN KLUSTER SUNGAI

Kluster Benteng LD

Sehingga jam 12 tengah hari 12 September 2020, sejumlah 4,089 telah disaring dalam Kluster Benteng LD dan sebanyak 44 kes baharu telah dikesan positif COVID-19. Pecahan jumlah saringan mengikut daerah adalah seperti berikut:

  1. Tawau (2,847 disaring):
    • 293 kes dikesan positif COVID-19 (43 kes baharu);
    • 724 individu negatif; dan
    • 1,830 individu masih menunggu keputusan.
  2. Lahad Datu (1,242 disaring):
    • 88 kes dikesan positif COVID-19 (1 kes baharu);
    • 440 individu negatif; dan
    • 714 individu masih menunggu keputusan.

Berdasarkan keseluruhan jumlah saringan bagi kluster ini, pecahan saringan melibatkan:

  • 833 banduan di mana 361 dikesan positif COVID-19;
  • 832 kakitangan di mana dua (2) dikesan positif COVID-19
  • 1,044 orang kontak ahli keluarga kakitangan dan banduan di mana        tiga (3) dikesan positif COVID-19;
  • 728 pegawai agensi kerajaan lain, tiada dikesan positif COVID-19;         dan
  • 652 kontak sosial di mana 15 dikesan positif COVID-19.

Daripada jumlah 381 kes positif COVID-19, 168 adalah di kalangan warganegara Malaysia manakala 213 adalah bukan warganegara yang melibatkan negara:

  • Filipina (149 kes);  dan
  • Indonesia (64 kes).

Kluster Sungai

Terdapat lima (5) kes baharu yang dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini. Sehingga jam 12 tengah hari 12 September 2020, sejumlah 8,258 telah disaring dalam Kluster Sungai, iaitu melibatkan seramai 709 petugas kesihatan (iaitu 8.6 peratus). Pecahan jumlah saringan mengikut negeri yang terbabit adalah seperti berikut:

  1. Kedah (8,110 disaring):
    • 55 kes dikesan positif COVID-19 ( 5 kes baharu);
    • 2,041 individu negatif; dan
    • 6,014 individu masih menunggu keputusan.
  2. Pulau Pinang (131 disaring):
    • 124 individu negatif; dan
    • Tujuh (7) individu masih menunggu keputusan.
  3. Perlis (17 disaring):
    • Satu (1) kes dikesan positif COVID-19;
    • 11 individu negatif; dan
    • Lima (5) individu masih menunggu keputusan.

Situasi terkini dalam kluster-kluster sedia ada dan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

Sumber: KP Kesihatan Malaysia

(Visited 2 times, 1 visits today)

COMMENTS