COVID-19: 958 jangkitan baharu, 3 kematian direkodkan

COVID-19: 958 jangkitan baharu, 3 kematian direkodkan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 958 kes jangkitan baharu COVID-19 direkodkan sepanjang 24 jam lalu.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah berkenaan, tiga negeri mencatatkan kes jangkitan harian tertinggi.
Ketiga-tiga negeri itu ialah Sabah yang merekodkan 512 kes sementara Selangor dan Negeri Sembilan masing-masing mencatatkan 153 kes baharu.
Dr Noor Hisham berkata, KKM juga mengesan lima kes import dari luar negara selain tiga kematian baharu akibat COVID-19 direkodkan.
“Pelaporan kes positif COVID-19 yang tinggi di Sabah berpunca daripada pertambahan kes bagi kluster-kluster terutamanya Kluster Sabaru (149 kes) dan peningkatan pengesanan kes dalam kalangan saringan kontak rapat (196 kes).
“Negeri Selangor dan Negeri Sembilan pula mencatatkan jumlah kes yang tinggi pada hari ini disebabkan oleh pertambahan kes dalam kluster-kluster sedia ada dan juga kluster baharu.
“Selain itu, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima kes import manakala 953 kes adalah merupakan penularan dalam negara,” katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah sebanyak 13,221 kes.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak lima kluster baharu dikesan membabitkan penularan jangkitan COVID-19.
“Lima kluster berkenaan iaitu Kluster Kasir, Kluster Sri Jujur, Kluster OAD, Kluster Enggor dan Kluster Makmur.
“Pertambahan kluster itu menjadikan sebanyak 324 dilaporkan setakat hari ini dan daripada jumlah itu, 167 kluster masih dalam kategor aktif,” jelasnya.
MAKLUMAT PENUH COVID-19 DI MALAYSIA

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan pada hari ini bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 956 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 39,088 kes (74.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 20 November 2020, sebanyak 958 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 52,638 kes. Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 13,221 kes. Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima (5) kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 953 kes adalah merupakan penularan COVID-19 dalam negara.

Tiga (3) negeri yang mencatatkan kes tertinggi pada hari ini adalah Sabah iaitu sebanyak 512 kes (53.4 peratus), diikuti Selangor dan Negeri Sembilan yang masing-masing melaporkan sebanyak 153 kes (16.0 peratus). Pelaporan kes positif COVID-19 yang tinggi di Sabah berpunca daripada pertambahan kes bagi kluster-kluster terutamanya Kluster Sabaru (149 kes) dan peningkatan pengesanan kes dalam kalangan saringan kontak rapat (196 kes). Negeri Selangor dan Negeri Sembilan pula mencatatkan jumlah kes yang tinggi pada hari ini disebabkan oleh pertambahan kes dalam kluster-kluster sedia ada dan juga kluster baharu.

Sebanyak 31 kes (3.2 peratus) yang dilaporkan pada hari ini pula adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS), lokap dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok (24 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (3 kes), Kluster Rumah Merah (2 kes), Kluster Penjara Sandakan (1 kes) dan Kluster Penjara Kepayan (1 kes).

Perincian penuh jumlah kes mengikut negeri adalah seperti di Lampiran 1 dan 2.

Sehingga kini, terdapat 110 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 42 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan tiga (3) kes kematian berkaitan COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 329 kes (0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Ringkasan kes kematian hari ini adalah seperti berikut:

No. Kematian Kes No. Negeri Jantina (warganegara) Umur (tahun) Hospital Latar Belakang
327 39871 Sabah Perempuan (WN) 32 Hospital Queen Elizabeth
328 43143 Sabah Lelaki (WN) 39 Hospital Tawau Penyakit darah tinggi
329 47656 Sabah Lelaki (BWN) 64 Hospital Tawau Penyakit jantung

*WN merujuk kepada warganegara dan BWN merujuk kepada bukan warganegara.

KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka.

MAKLUMAT TERKINI BERKAITAN KLUSTER-KLUSTER

Sehingga 20 November 2020, terdapat sebanyak 324 kluster telah dilaporkan. Pada hari ini, terdapat lima (5) kluster baharu yang dilaporkan menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 167 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 47 kluster melaporkan pertambahan kes.

Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Sabaru (149 kes), Kluster Hentian (107 kes), dan Kluster Perigi (50 kes). Ingin dimaklumkan bahawa sebanyak tiga (3) kluster telah tamat iaitu Kluster Seri Setia, Kluster Bina, dan Kluster Bah Bundle. Ini menjadikan jumlah kluster tamat adalah sebanyak 157 kluster.

KLUSTER BAHARU

KKM juga ingin memaklumkan terdapat lima (5) kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini iaitu;

  • KLUSTER KASIR

Kluster  ini melibatkan daerah Tawau, Sabah. Kes indeks (iaitu kes ke-39566) merupakan seorang pekerja pasaraya yang dikesan positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 8 November 2020. Sehingga 20 November 2020, sejumlah 143 individu telah disaring, di mana 28 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Tawau.

  • KLUSTER SRI JUJUR

Kluster ini melibatkan  daerah Klang, Sepang, dan Petaling, Selangor. Kes indeks (iaitu kes ke-39977) dikesan positif COVID-19 hasil saringan di tempat kerja pada 8 November 2020. Sehingga 20 November 2020, sejumlah 273 individu telah disaring, di mana 41 kes telah dikesan positif COVID-19. Kluster berkaitan tempat kerja ini melibatkan lima (5) warganegara dan 36 bukan warganegara.

  • KLUSTER OAD

Kluster ini melibatkan daerah Seremban, Jelebu, Kuala Pilah,  dan Jempol di Negeri Sembilan serta daerah Hulu Langat di negeri Selangor. Kes indeks (iaitu kes ke-41974) dikesan positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 10 November 2020. Sehingga 20 November 2020, sejumlah 73 individu telah disaring, di mana 11 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, Hospital Tampin dan Hospital Rembau.

  • KLUSTER ENGGOR

Kluster ini melibatkan daerah Kerian, Kuala Kangsar, Batang Padang dan Kinta di negeri Perak. Kes indeks (iaitu kes ke-45072) dikesan positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 13 November 2020. Sehingga 20 November 2020, sejumlah 280 individu telah disaring, di mana 12 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.  Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Hospital Teluk Intan dan Hospital Taiping.

  • KLUSTER MAKMUR

Kluster ini melibatkan daerah Kulai dan Johor Bahru, Johor. Kes indeks (iaitu kes ke-51614) dikesan positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 19 November 2020. Sehingga 20 November 2020, sejumlah 68 individu telah disaring, di mana enam (6) kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.  Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

PENILAIAN RISIKO DALAM MENENTUKAN KEPERLUAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN BERSYARAT

Kerajaan Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri-negeri di seluruh Semenanjung Malaysia kecuali negeri Perlis, Kelantan dan Pahang bermula 9 November sehingga 6 Disember 2020. Pelaksanaan PKPB bertujuan untuk mengekang penularan COVID-19 dengan mengurangkan pergerakan masyarakat antara negeri dan daerah, serta membolehkan KKM mempertingkatkan aktiviti kesihatan awam seperti saringan secara bersasar dan lain-lain.

Sebelum KKM mengesyorkan sesuatu kawasan dilaksanakan PKPB, penilaian risiko dilakukan dengan mengambil kira beberapa faktor, iaitu:

  • Kadar peningkatan kes

Peningkatan ketara bilangan kes COVID-19, terutamanya jika berlaku dalam tempoh masa yang singkat;

  • Taburan kes positif

Taburan kes dalam mukim dan daerah yang terlibat dan sama ada terdapat tumpuan di kawasan-kawasan tertentu seperti penjara atau pusat tahanan sementara;

  • Kepadatan penduduk

Kepadatan penduduk setempat yang tinggi dengan bilangan kawasan perumahan, pangsapuri atau rumah setinggan yang tinggi;

  • Kewujudan tempat tumpuan awam

Kewujudan tempat-tempat seperti pasar borong, kilang, pejabat kerajaan, kompleks perniagaan dan sebagainya; dan

  • Keadaan sosiodemografi penduduk

Keadaan sosiodemografi penduduk setempat, sama ada terdapat penempatan warganegara asing dan juga pergerakan penduduk keluar masuk yang banyak.

Sebagai contoh, pada mulanya PKPB tidak dilaksanakan di negeri Kelantan pada 9 November 2020. Namun, dengan mengambil kira faktor-faktor yang telah diteliti dalam penilaian risiko KKM, kini terdapat keperluan untuk PKPB dilaksanakan di negeri tersebut. Pada 3 November 2020, negeri Kelantan hanya mencatatkan sebanyak lapan (8) kes COVID-19 yang melibatkan hanya tiga (3) daerah sahaja. Walau bagaimanapun, pada 19 November 2020, bilangan kes aktif COVID-19 di Kelantan telah meningkat kepada 73 kes dan telah menular ke lapan (8) daripada sepuluh (10) daerah.

Selain daripada itu, terdapat tujuh (7) kluster yang aktif, iaitu Kluster Ikhtisas, Cergas, Kube, Kaya, Mengketil, Simera dan Jalan Meru yang masih dipantau di negeri Kelantan. Kluster Mengketil terutamanya mencatatkan pertambahan kes yang mendadak dengan peningkatan 41 kes dalam masa lima (5) hari. Kes-kes dalam kluster ini mula dikesan di daerah Machang tetapi kini telah menular ke daerah Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Mas dan Kuala Krai. Kluster ini bahkan telah menular ke daerah Besut di negeri Terengganu. Kluster ini menunjukkan kebolehjangkitan yang tinggi dan terdapat risiko penularan yang tidak terkawal sekiranya PKPB tidak dilaksanakan.

Penilaian risiko juga telah dijalankan di negeri-negeri lain untuk menentukan sama ada PKPB boleh ditamatkan atau perlu diteruskan. Walaupun PKBB telah ditamatkan di beberapa negeri, terdapat keperluan pelanjutan tempoh PKPB di sesetengah daerah kerana penilaian risiko menunjukkan risiko jangkitan yang masih tinggi di daerah tersebut. Oleh itu, masyarakat perlu sentiasa patuh kepada SOP yang telah ditetapkan oleh KKM dan MKN walaupun telah kembali kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin menasihati orang ramai agar terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat).
  • Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear dan Warn)

Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu. KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

20 November 2020 @ 5.30 petang.

 

LAMPIRAN 1

BILANGAN KES COVID-19

MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 20 NOVEMBER 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERI BILANGAN KES BAHARU *(    ) BILANGAN KES KUMULATIF
SABAH 512 25,441
SELANGOR 153 8,747
W.P. KUALA LUMPUR 46 (5) 4,762
NEGERI SEMBILAN 153 3,794
KEDAH 19 2,318
PULAU PINANG 25 1,736
W.P. LABUAN 1 1,215
SARAWAK 2 1,055
JOHOR 9 1,043
PERAK 24 1,020
PAHANG 0 395
MELAKA 2 377
KELANTAN 7 264
TERENGGANU 4 234
W.P. PUTRAJAYA 1 196
PERLIS 0 41
JUMLAH KESELURUHAN 958 (5) 52,638

*(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import

LAMPIRAN 2

Perincian 958 kes positif COVID-19 baharu yang dilaporkan di Malaysia pada 20 November 2020 adalah seperti berikut: 

  • Sabah: 512 kes 
    • 197 kes daripada kluster-kluster, termasuk lapan (8) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Kasir;
    • 196 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • 119 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Selangor: 153 kes 
    • 103 kes daripada kluster-kluster, termasuk 17 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Sri Jujur;
    • 27 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • 23 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Negeri Sembilan: 153 kes
    • 140 kes daripada kluster-kluster, termasuk satu (1) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster OAD;
    • 10 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • Tiga (3) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: 46 kes
    • 19 kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • 17 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19;
    • Lima (5) kes import dari luar negara; dan
    • Lima (5) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Perak: 24 kes
    • 23 kes daripada kluster-kluster, termasuk lapan (8) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Enggor; dan
    • Satu (1) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19.
  • Pulau Pinang: 25 kes
    • 24 kes daripada kluster-kluster sedia ada; dan
    • Satu (1) kes  daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Kedah: 19 kes
    • 17 kes daripada kluster sedia ada; dan
    • Dua (2) kes  daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Johor: Sembilan (9) kes
    • Tujuh (7) kes daripada kluster-kluster, termasuk lima (5) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Makmur;
    • Satu (1) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • Satu (1) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Kelantan: Tujuh (7) kes
    • Enam (6) kes daripada kluster-kluster sedia ada; dan
    • Satu (1) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Terengganu: Empat (4) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19.
  • Sarawak: Dua (2) kes
    • Satu (1) kes daripada kluster sedia ada; dan
    • Satu (1) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Melaka: Dua (2) kes
    • Satu (1) kes daripada kluster sedia ada; dan
    • Satu (1) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19.
  • Wilayah Persekutuan Labuan: Satu (1) kes  daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Wilayah Persekutuan Putrajaya: Satu (1) kes  daripada kluster sedia ada.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )