Covid-19 catat 869 kes baru, paling tinggi di Malaysia

Covid-19 catat 869 kes baru, paling tinggi di Malaysia

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 17 Oktober 2020 pukul 12:00 tengah hari, sebanyak 869 kes baharu telah dilaporkan, di mana kesemuanya adalah kes jangkitan tempatan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 19,627 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 6,886 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Jika dilihat pecahan utama jumlah kes hari ini, Negeri Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 451 kes (51.9 peratus). Manakala, negeri-negeri di Lembah Klang pula merangkumi 20.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, iaitu Negeri Selangor mencatat 159 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 15  kes dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dua (2) kes. Kesemua negeri-negeri ini adalah dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Secara keseluruhan, sebanyak 224 kes (25.8 peratus) pada hari ini adalah daripada Kluster Tembok, Kluster Penjara Reman dan Kluster Penjara Seberang Perai. Kes-kes ini sememangnya terasing di dalam penjara dan tidak menjangkiti masyarakat.

Daripada 869 kes penularan di dalam negara, 745 kes adalah warganegara Malaysia dan 124 kes adalah bukan warganegara.

Daripada jumlah keseluruhan kes hari ini, empat (4) kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, yang menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 adalah sebanyak 441 kes.

Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara adalah seperti berikut:

  • Sabah: 451 kes
    • 234 kes saringan kontak rapat kes positif COVID-19;
    • 54 kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • Dua (2) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Teduh; dan
    • 161 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Pulau Pinang: 189 kes
    • 186 kes daripada kluster-kluster sedia ada; dan
    • Tiga (3) kes saringan kontak rapat kes positif COVID-19.
  • Selangor: 159 kes
    • 89 kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • 23 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Keladi;
    • 23 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19;
    • Lapan (8) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Menara;
    • Dua (2) kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah); dan
    • 14 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Kedah: 38 kes 
    • 37 daripada Kluster Tembok; dan
    • Satu (1) kes daripada Kluster Bah Lunas.
  • Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: 15 kes
    • Tujuh (7) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19;
    • Empat (4) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Sentral;
    • Tiga (3) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Menara; dan
    • Satu (1) kes saringan bergejala.
  • Sarawak: Empat (4) kes daripada Kluster Bah Arnab.
  • Perak: Empat (4) kes
    • Dua (2) kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • Satu (1) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Menara; dan
    • Satu (1) kes saringan di Depoh Tahanan Imigresen.
  • Terengganu: Tiga (3) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Bah Bemban.
  • Johor: Dua (2) kes
    • Satu (1) kes daripada Kluster Buntar; dan
    • Satu (1) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19.
  • Wilayah Persekutuan Putrajaya: Dua (2) kes
    • Satu (1) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Menara; dan
    • Satu (1) kes daripada Kluster Buntar.
  • Negeri Sembilan: Satu (1) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19.
  • Melaka: Satu (1) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19.

Sehingga kini, terdapat 91 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 30 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan empat (4) kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 180 kes (0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Ringkasan kes-kes kematian hari ini adalah seperti berikut:

Kes kematian Kes Negeri Jantina Umur (tahun) Hospital Latar Belakang
177 11860 Sabah Lelaki WN 78 Hospital Queen Elizabeth Penyakit darah tinggi dan penyakit buah pinggang kronik
178 14976 Sabah Lelaki WN 88 Hospital Queen Elizabeth Penyakit darah tinggi, kencing manis, dislipidemia dan strok
179 16652 Sabah Perempuan WN 71 Hospital Tawau
180 19209 Sabah Lelaki BWN 53 Hospital Duchess of Kent

* WN merujuk kepada warganegara dan BWN bukan warganegara

KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka.

LIMA (5) KLUSTER BAHARU DILAPORKAN HARI INI

KKM ingin memaklumkan bahawa terdapat lima (5) kluster baharu telah dikenal pasti pada hari ini iaitu;

1) KLUSTER TEDUH

Kluster baharu ini melibatkan daerah Lahad Datu di negeri Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-13000) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu yang mempunyai sejarah perjalanan dari daerah yang berisiko tinggi iaitu Semporna pada 6 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Lahad Datu. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 10 lagi kes positif COVID-19.

Sehingga 17 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 535 individu telah disaring, di mana:

  • 11 kes dikesan positif COVID-19; dan
  • 524 individu masih menunggu keputusan.

2) KLUSTER MENARA

Kluster baharu ini melibatkan daerah Gombak, Petaling, Klang, Sepang dan Hulu Langat di negeri Selangor; daerah Lembah Pantai, Titiwangsa dan Cheras di WP Kuala Lumpur; daerah Larut, Matang dan Selama di negeri Perak serta Wilayah Persekutuan Putrajaya. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-16041) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 9 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 32 lagi kes positif COVID-19.

Sehingga 17 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 180 individu telah disaring, di mana:

  • 33 kes dikesan positif COVID-19;
  • 33 individu negatif; dan
  • 114 individu masih menunggu keputusan.

3) KLUSTER KELADI

Kluster baharu ini melibatkan daerah Klang di negeri Selangor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-17381) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan kontak rapat pada 13 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 25 lagi kes positif COVID-19.

Sehingga 17 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 107 individu telah disaring, di mana:

  • 26 kes dikesan positif COVID-19;
  • 74 individu negatif; dan
  • Tujuh (7) individu masih menunggu keputusan.

4) KLUSTER SENTRAL

Kluster baharu ini dikenal pasti di Kepong, Cheras dan Titiwangsa, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.  Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-18676) yang juga merupakan kes kematian ke-176, telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan kematian di sebuah pusat perubatan pada 16 Oktober 2020. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti empat (4) lagi kes positif COVID-19.

Sehingga 17 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 135 individu telah disaring, di mana:

  • Lima (5) kes dikesan positif COVID-19;
  • 122 individu negatif; dan
  • Lapan (8) individu masih menunggu keputusan.

5) KLUSTER BAH BEMBAN

Kluster baharu ini melibatkan daerah Dungun di negeri Terengganu dan daerah Kota Kinabalu di negeri Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-12082) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) pada 3 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 11 lagi kes positif COVID-19.

Sehingga 17 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 222 individu telah disaring, di mana:

  • 12 kes dikesan positif COVID-19; dan
  • 210 individu negatif.

KKM MEMPERTINGKATKAN KAPASITI BAGI MEMBENDUNG COVID-19 DI SABAH

KKM sememangnya memandang serius situasi penularan COVID-19 di negeri Sabah dari sejak awal peningkatan bilangan kes COVID-19 di sana. Banyak usaha telah dijalankan seperti meningkatkan kapasiti dan mobilisasi aset serta sumber manusia. Usaha-usaha ini dilakukan bagi memastikan sistem Kesihatan Awam dan Perubatan di negeri Sabah terus mampan dalam membendung situasi penularan COVID-19. Antara usaha yang telah dan sedang dijalankan termasuk:

  1. Meningkatkan kapasiti ujian makmal RT-PCR dan RTK Antigen
    • Kapasiti ujian makmal di negeri Sabah telah ditingkatkan dua kali ganda. Pada bulan Julai 2020, kapasiti ujian RT-PCR di negeri Sabah adalah sebanyak 1,350 ujian. Kini, ianya telah dipertingkatkan kepada 2,600 ujian RT-PCR sehari.
    • Penghantaran sampel RT-PCR setiap hari dilakukan ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dengan menggunakan perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Pos Laju.
    • Perkhidmatan penyumberluaran (outsourcing) kepada makmal swasta juga telah dilakukan. Misalnya pada 16 Oktober 2020, sebanyak 4,327 ujian telah disumberluarkan kepada makmal swasta agar lebih banyak saringan dapat terus dijalankan di lapangan.
    • Penghantaran lebih banyak kit ujian RTK Antigen di mana mulai Oktober 2020, sebanyak 100,000 kit ujian RTK Antigen dihantar setiap bulan khususnya ke negeri Sabah untuk membantu saringan COVID-19 di lapangan.
  2. Meningkatkan kapasiti katil di hospital COVID-19 serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).
    • Kini Sabah mempunyai sembilan (9) Hospital COVID-19 dan 21 PKRC.
    • Bagi menampung peningkatan jumlah kes COVID-19 di negeri Sabah, jumlah katil hospital COVID-19 dan PKRC telah ditingkatkan 2.5 kali ganda, iaitu daripada 2,129 katil pada awal bulan September 2020 kepada jumlah terkini iaitu 5,414 katil. Kadar penggunaan katil (BOR) pada ketika ini adalah 35 peratus.
    • Penyediaan hospital medan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau yang akan menempatkan 100 katil bagi kegunaan pesakit bukan COVID-19 agar lebih banyak katil di Hospital Tawau boleh digunakan untuk pesakit COVID-19.
  3. Meningkatkan kapasiti katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan alat mesin bantuan pernafasan (ventilator)
    • Mesin ventilator dan katil ICU telah diperolehi bukan sahaja melalui perolehan menggunakan peruntukan khas oleh Kerajaan, malah turut diperoleh melalui sumbangan daripada pelbagai pihak.
    • Khususnya untuk Sabah, terdapat sejumlah 180 ventilator yang disediakan di mana kadar penggunaan adalah sebanyak 32 peratus (ini termasuk juga penggunaan oleh kes-kes bukan COVID-19).
    • Jumlah katil ICU di negeri Sabah kini adalah 122 katil, di mana kadar penggunaan adalah 72 peratus (ini termasuk juga penggunaan oleh kes-kes bukan COVID-19).
    • Bagi meningkatkan jumlah katil ICU, KKM telah menyusun atur semula kawasan klinikal (repurposing of clinical areas) di beberapa fasiliti kesihatan di mana kawasan dalam hospital digunakan untuk diubah suai bagi tujuan rawatan pesakit kritikal COVID-19 (modular ward ICU). Ini membantu meningkatkan jumlah katil ICU yang sedia ada di negeri Sabah.
    • Inovasi bagi membolehkan satu mesin ventilator digunakan oleh dua pesakit COVID-19 juga telah diperkenalkan. Inovasi ini dipanggil “ventilator splitter” iaitu menggunakan teknologi cetakan 3D (3D printing) yang mana telah turut dilaksanakan di beberapa buah negara lain.
  4. Meningkatkan kapasiti dan mobilisasi tenaga sumber manusia Perubatan dan Kesihatan Awam
    • Mobilisasi pasukan bantuan melibatkan 767 orang anggota Perubatan dan Kesihatan Awam KKM dari pelbagai kategori dan skim perkhidmatan yang telah digerakkan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna, Sandakan dan Kota Kinabalu secara dalaman negeri di Sabah dan juga dari negeri-negeri lain telah dilaksanakan. Lebih ramai anggota akan dihantar kelak, di mana 99 petugas akan bertolak ke Sabah dalam minggu ini dan minggu hadapan (36 orang petugas Kesihatan Awam dan 63 orang petugas Perubatan).
    • KKM akan menjalankan lantikan secara kontrak (contract of service) bagi 1,899 petugas kesihatan,  tertakluk kepada syarat-syarat tertentu bagi lantikan. Ini akan dimobilisasikan bagi kegunaan di negeri-negeri yang memerlukan, khususnya di negeri Sabah.
    • KKM juga telah mempergiatkan penglibatan lebih banyak anggota sukarelawan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sukarelawan individu dalam menangani krisis ini. Bilangan maklumbalas yang diterima daripada pihak yang berminat adalah amat memberangsangkan. Setakat ini, 4,794 pendaftaran telah diterima dan masih dalam proses saringan. Lebih ramai sukarelawan diseru untuk bersama-sama membantu KKM dalam usahasama ini. Setakat ini, dua (2) NGO telah menghantar 15 anggota mereka ke Sabah.
  5. Penyumberluaran (outsourcing) perkhidmatan Perubatan bagi kes-kes bukan COVID-19
    • Bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan dan rawatan kepada kes-kes bukan COVID-19 tidak terjejas, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah telah berbincang dan menandatangani beberapa perjanjian dengan hospital swasta.
    • Senarai Hospital Swasta yang terlibat dalam outsourcing ini adalah:
      • Institut Jantung Negara (IJN)
      • Hospital Gleneagles Kota Kinabalu
      • Hospital Gleneagles Pulau Pinang
      • Hospital Pakar KPJ Sabah
      • Tawau Specialist Medical Centre
      • Jesselton Medical Centre

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )