COVID-19: Gelombang ketiga lebih mencabar, namun KKM lebih bersedia - Dr Noor Hisham
COVID-19: Gelombang ketiga lebih mencabar, namun KKM lebih bersedia – Dr Noor Hisham

COVID-19: Gelombang ketiga lebih mencabar, namun KKM lebih bersedia – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyifatkan gelombang ketiga COVID-19 di Malaysia sebagai lebih mencabar.
Jelasnya, ia berikutan penularan COVID-19 di beberapa kluster di Kedah dan Sabah disahkan mempunyai Mutasi D614G yang lebih mudah merebak dan mempunyai kebolehjangkitan yang tinggi.

Namun, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) lebih bersedia menghadapi gelombang kali ini dan telah membuat persiapan lengkap lebih awal.

“Sememangnya gelombang ketiga ini lebih mencabar memandangkan COVID-19 yang menular di beberapa kluster di Kedah, Sabah telah disahkan oleh Makmal IMR mempunyai Mutasi D614G yang lebih mudah merebak dan mempunyai kebolehjangkitan yang tinggi,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan semasa COVID-19 pada Jumaat.

Pada masa sama, katanya kebanyakan kes telah dikesan dalam penjara di Sabah dan kedah yang telah menyumbang jumlah besar kes dalam gelombang ketiga.
“Meskipun terdapat kes di luar penjara, ia tidak setinggi kes yang dikesan kluster-kluster berkaitan dengan iaitu Kluster Op Benteng Lahad Datu dan juga Op Tembok,” tambahnya.

Bagaimanapun, kes dalam penjara masih terkawal kerana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dijalankan bagi memastikan ia tidak merebak ke komuniti.

Dari segi kesiapsiagaan, pada awal penularan kes COVID-19 di negara ini, Malaysia hanya mempunyai 23 makmal dengan keupayaan 1,000 ujian harian dijalankan.

Namun, kapasiti keupayaan itu berjaya ditingkatkan setakat ini.
“Hari ini kita ada 60 makmal dan keupayaan maksimum lebih 41,000 ujian harian. Setakat ini, kita menggunakan 51 peratus daripada kapasiti sedia ada,” katanya lagi.

Dari segi fasiliti kesihatan dan perubatan, KKM juga dilihat lebih bersedia dan ada kapasiti.

“Kita boleh tambah pengalaman kita dengan untuk tambah pusat kuarantin dan risiko rendah dan tambahan katil di hospital dan ICU.
“Kita juga sudah lengkap dengan peralatan bantuan pernafasan untuk dihantar ke Sabah dan kapaiti PPE dan pemakaian atau kepenggunaan diguna pakai,” ujarnya lagi.

(Visited 4 times, 1 visits today)

COMMENTS