Covid 19 : Polis akan dakwa wanita sebar berita palsu kematian 2 pelajar SMK Tasek Damai
Covid 19 : Polis akan dakwa wanita sebar berita palsu kematian 2 pelajar SMK Tasek Damai

Covid 19 : Polis akan dakwa wanita sebar berita palsu kematian 2 pelajar SMK Tasek Damai

IPOH – Polis Perak sudah merakam percakapan seorang wanita yang membuat kenyataan tidak benar berhubung kematian dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai dalam video tular, bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, keterangan wanita yang juga seorang aktivis berusia 39 tahun itu dirakam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada Ahad.

Menurutnya, ketika rakaman percakapan diambil, wanita terbabit mengaku membuat kenyataan sepertimana dalam video itu dalam satu majlis di Putrajaya pada 28 September lalu.

“Kes ini akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk arahan selanjutnya, mungkin kita cadangkan untuk pertuduhan ke atas suspek dalam kes ini.

“Secara jelas, kenyataan yang diberikan suspek itu tidak tepat dan tidak benar. Dua pelajar yang dikatakan itu meninggal dunia bukan disebabkan vaksin kerana mereka belum menerima vaksin,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negera (PPN) Fasa 2 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Michael sempena sesi pembukaan semula sekolah.

Mior Faridalathrash berkata, selain wanita terbabit, polis juga telah merakam percakapan pegawai kesihatan, pengetua sekolah, pegawai perubatan yang merawat pelajar terlibat, ibu bapa pelajar serta saksi yang bersama wanita itu ketika membuat kenyataan dalam video berkenaan.

“Kita akan segerakan siasatan ini. Kertas siasatan sudahpun dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam,” katanya.

Pada 29 September lepas, polis menerima dua laporan berhubung perkara itu masing-masing dibuat oleh Pegawai Pendidikan (Kesihatan) Daerah Ipoh dan pengetua SMK Tasek Damai.

Laporan itu antara lain berkaitan ketidakpuasan hati terhadap dakwaan kematian dua pelajar sekolah itu. disebabkan suntikan vaksin.

Video berdurasi 1 minit 38 saat yang tular sejak Selasa itu dipercayai dirakam dalam sebuah majlis yang diadakan sebagai tanda solidariti menuntut hak supaya pelajar tidak diwajibkan mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Menerusi video tersebut, seorang wanita dalam ucapannya kepada sekumpulan individu mendakwa berlaku dua kes kematian pelajar SMK Tasek Damai disebabkan pengambilan suntikan vaksin.

SH

(Visited 122 times, 1 visits today)

COMMENTS