Covid-19: Tiada kes baru di Kedah, Sabah catat kluster baru
Covid-19: Tiada kes baru di Kedah, Sabah catat kluster baru

Covid-19: Tiada kes baru di Kedah, Sabah catat kluster baru

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 15 September 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 23 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,969 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 632 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada 23 kes baharu yang dilaporkan, 10 kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan lima (5) warganegara Malaysia dan lima (5) bukan warganegara. Sepuluh (10) kes import tersebut adalah dari negara:

  • Filipina (4 kes: 3 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan 1 kes di Selangor).
  • Hungary (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur);
  • Turki (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur);
  • Qatar (1 kes di Selangor);
  • Bangladesh (1 kes di Selangor);
  • Nigeria (1 kes di Selangor); dan
  • Maghribi (1 kes di Selangor).

Daripada 13 kes penularan di dalam negara, 10 kes adalah warganegara Malaysia dan tiga (3) kes adalah bukan warganegara. Semua penularan di dalam negara adalah di negeri Sabah iaitu:

  • Lapan (8) kes daripada Kluster Pulau, iaitu kluster baharu di Kunak, Sabah;
  • Empat (4) kes daripada Kluster Benteng LD yang melibatkan tiga (3) bukan warganegara; dan
  • Satu (1) kes saringan rujukan dari Hospital Semporna ke Hospital Tawau.

Kluster-kluster ini akan diperincikan di bawah.

Sehingga kini, terdapat 14 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat (4) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes (1.28 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

KLUSTER PULAU

KKM ingin memaklumkan bahawa satu kluster baharu telah dikenalpasti di Kunak, Sabah. Kes indeks kluster (iaitu kes ke-9940) adalah seorang wanita warganegara Malaysia yang berusia 68 tahun. Beliau ditemui tidak sedarkan diri di rumah dan dibawa ke Hospital Kunak, dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Tawau bagi rawatan serangan jantung, strok dan penyakit hati di mana saringan COVID-19 didapati positif pada 13 September 2020. Beliau kini dirawat Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

Hasil saringan kontak rapat dan pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection), lapan (8) lagi kes positif COVID-19 telah dikesan. Kesemua lapan (8) kes merupakan ahli keluarga kes indeks. Sehingga 15 September 2020, sejumlah 128individu telah disaring dalam kluster ini yang terdiri daripada 109 warganegara dan 19 bukan warganegara. Daripada jumlah ini:

  • Sembilan (9) kes dikesan positif COVID-19;
  • 18 individu negatif; dan
  • 101 individu masih menunggu keputusan.

Langkah pencegahan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan pembersihan telah dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenalpasti. Punca jangkitan masih di dalam siasatan dan aktiviti mengawal penularan jangkitan bagi kluster ini giat dijalankan di lapangan.

STATUS TERKINI KLUSTER BENTENG LD

Terdapat empat (4) kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Benteng LD pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 424 kes. Sehingga 15 September 2020 jam 12 tengah hari, sejumlah 6,610 individu telah disaring dalam kluster ini. Pecahan jumlah saringan mengikut daerah adalah seperti berikut:

  1. Lahad Datu (1,531 disaring):
    • 93 kes dikesan positif COVID-19 (4 kes baharu);
    • 1,127 individu negatif; dan
    • 311 individu menunggu keputusan.
  2. Tawau (5,079 disaring);
    • 331 kes dikesan positif COVID-19;
    • 2,352 individu negatif; dan
    • 2,396 individu menunggu keputusan.

Berdasarkan keseluruhan saringan bagi kluster ini, pecahan saringan melibatkan:

  • 1,096 banduan dan tahanan di mana 395 kes dikesan positif COVID-19;
  • 1,147 kakitangan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Lahad Datu dan Penjara Tawau di mana 10 kes dikesan positif COVID-19;
  • 1,251 ahli keluarga kepada kakitangan, banduan dan tahanan di mana sembilan (9) dikesan positif COVID-19;
  • 977 pegawai agensi kerajaan lain, tiada dikesan positif COVID-19; dan
  • 2,139 kontak sosial di mana 10 dikesan positif COVID-19.

Daripada jumlah 424 kes positif COVID-19, 186 adalah di kalangan warganegara Malaysia manakala 238 adalah bukan warganegara yang melibatkan negara:

  • Filipina (154 kes); dan
  • Indonesia (84 kes).

PERKEMBANGAN SARINGAN COVID-19 DI KAWASAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN DIPERKETATKAN (PKPD) SECARA PENTADBIRAN DI KEDAH

  1. Kota Setar, Kedah

PKPD secara pentadbiran di Kota Setar telah dilaksanakan dari 11 September 2020 sehingga 25 September 2020 berikutan peningkatan kes COVID-19 dalam Kluster Sungai dan Kluster Telaga. Sehubungan itu, KKM menganggarkan 15,000 individu untuk disaring dari 10 mukim yang telah dikenalpasti berisiko tinggi iaitu:

  • Pumpong
  • Alor Merah
  • Alor Malai
  • Derga
  • Kuala Kedah
  • Pengkalan Kundor
  • Kota Setar
  • Langgar
  • Titi gajah
  • Mergong

Sehingga 15 September 2020, sebanyak 12,885 warganegara Malaysia telah disaring, iaitu 11,757 individu negatif dan 1,128 individu masih menunggu keputusan.

2. Amanjaya, Kedah

Bagi PKPD secara pentadbiran di tiga zon dalam Amanjaya, seramai 13,591 penduduk telah disaring sehingga 15 September 2020, yang terdiri daripada;

  • 13,526 warganegara
  • 65 bukan warganegara

Daripada jumlah keseluruhan saringan, 16 kes COVID-19 di kalangan warganegara Malaysia telah dikesan, termasuk 13 kes saringan kali kedua di Zon Melur. Susulan itu, PKPD secara pentadbiran di Zon Melur telah dilanjutkan sehingga 27 September bagi membendung penularan COVID-19.

PERKEMBANGAN NILAI Rt ATAU R NAUGHT (R0) DALAM NEGARA 

Nilai Rt penularan jangkitan COVID-19 bagi negara adalah kekal melebihi angka 1.0. Nilai terkini pada 13 September 2020 adalah 1.58. Jika diteliti nilai Rt bagi negeri Sabah pula, pada 8 September 2020 ianya adalah amat tinggi, iaitu pada nilai 3.72. Ini adalah lebih tinggi berbanding nilai Rt bagi negeri Kedah pada tarikh yang sama iaitu 2.63.

Hasil tindakan kesihatan awam yang giat dijalankan telah menurunkan sedikit nilai ini bagi kedua-dua negeri. Pada 13 September 2020, nilai Rt bagi negeri Sabah adalah 1.70, iaitu hampir sama dengan nilai Rt bagi negeri Kedah pada tarikh yang sama iaitu 1.58. Namun begitu, nilai ini masih kekal melebihi 1.0 bagi kedua-dua negeri, dan seterusnya memberi kesan kepada nilai Rt bagi negara. Tindakan kesihatan awam perlu diteruskan dan dipergiat agar nilai ini dapat terus dikurangkan sehingga kurang daripada 1.0; sekaligus mengurangkan transmisi dan kebolehjangkitan COVID-19 di dalam komuniti.

Paling utama, tindakan dan komitmen adalah diperlukan daripada semua lapisan dan peringkat masyarakat untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kerajaan. Duduklah di rumah sekiranya tiada urusan di luar rumah, pastikan amalan penjarakan fizikal dilaksanakan setiap masa, basuh tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer, dan pakai pelitup muka ketika di tempat awam, terutama yang sesak dan sempit.

(Visited 9 times, 1 visits today)

COMMENTS