Covid19: Kes baru melonjak 62 kes hari ini
Covid19: Kes baru melonjak 62 kes hari ini

Covid19: Kes baru melonjak 62 kes hari ini

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 7 September 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 62 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,459 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 207 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada 62 kes baharu yang dilaporkan, enam (6) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua (2) warganegara Malaysia dan empat (4) bukan warganegara. Enam (6) kes import tersebut adalah dari negara:

  • Turki (2 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur);
  • Bangladesh (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 1 kes di Selangor);
  • Indonesia (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); dan
  • Mesir (1 kes di Selangor).

Daripada 62 kes baharu yang dilaporkan, 56 kes adalah kes penularan di dalam negara yang melibatkan 30 warganegara Malaysia dan 26 bukan warganegara. Perincian kes adalah seperti berikut:

  1. Sabah:
    • 50 kes daripada Kluster Benteng LD. Kluster ini akan diperincikan di bawah; dan
    • Satu (1) kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dikesan di Hospital Lahad Datu.
  2. Kedah:
    • Dua (2) kes daripada Kluster Sungai. Kluster ini akan diperincikan di bawah:
    • Satu (1) kes saringan Kluster Telaga; dan
    • Satu (1) kes saringan bergejala di sebuah klinik pergigian di Alor Setar.
  3. Pulau Pinang:
    • Satu (1) kes saringan kontak rapat kepada kes positif ke-9397.

Sehingga kini, terdapat enam (6) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat (4) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes (1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI BAGI KLUSTER BENTENG LD, SABAH

Pada 7 September 2020, sebanyak 50 kes dikesan positif COVID-19 dari kluster ini, di mana kesemuanya merupakan tahanan (43 kes di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu dan 7 kes di Penjara Tawau). Kluster ini telah dikenal pasti pada 1 September 2020. Ia bermula dari dua (2) orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang ditahan di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Sabah pada 24 Ogos 2020. Mereka disaring dan didapati positif COVID-19 pada 31 Ogos 2020. Kes dimasukkan ke Hospital Lahad Datu dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat dijalankan. Dalam tempoh tujuh (7) hari, seramai 1,404 orang telah disaring dan 66 kes positif COVID-19 dikesan dengan kadar positiviti sebanyak 4.7%.

Daripada 66 kes positif COVID-19 dalam kluster ini, sebanyak 64 kes melibatkan banduan (97.0 peratus) manakala dua (2) lagi kes (3.0 peratus) merupakan seorang pegawai penjara dan anak saudaranya. Jumlah saringan yang telah dilaksanakan bagi kluster ini melibatkan:

  • 631 orang banduan;
  • 98 orang kakitangan penjara;
  • 157 orang ahli keluarga kakitangan dan banduan;
  • 78 anggota polis; dan
  • 440 orang pegawai agensi kerajaan yang lain.

Kluster ini melibatkan dua (2) daerah di Sabah. Daripada jumlah kes positif COVID-19 kluster ini, 30 kes (45.5 peratus) merupakan warganegara Malaysia dan 36 kes (54.5 peratus) bukan warganegara. Pecahan saringan mengikut daerah yang terbabit adalah seperti berikut:

  1. Lahad Datu (420 orang disaring):
    • 50 kes dikesan positif COVID-19 (22 warganegara, 28 bukan warganegara);
    • 337 individu negatif; dan
    • 33 individu masih menunggu keputusan.
  2. Tawau (984 orang disaring):
    • 16 kes dikesan positif COVID-19 (8 warganegara, 8 bukan warganegara);
    • 230 individu negatif; dan
    • 738 individu masih menunggu keputusan.

Berdasarkan analisa risiko yang dijalankan, faktor penularan COVID-19 bagi kluster ini adalah ruang lokap yang sesak dan sempit. Didapati penjarakan fizikal sukar diamalkan. Ini merupakan penyumbang utama penularan jangkitan COVID-19 di kalangan banduan. Justeru, kepatuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah penting dan harus diamalkan sepanjang masa tanpa mengira tempat.

STATUS TERKINI BAGI KLUSTER SUNGAI

KKM ingin memaklumkan bahawa satu (1) kluster baharu telah dikenal pasti di sebuah pusat perubatan di Kedah. Kes indeks (Kes ke-9455) kluster ini merupakan seorang anggota kesihatan di pusat perubatan tersebut. Beliau bergejala sejak 30 Ogos 2020 tetapi tidak mendapatkan rawatan. Ujian saringan COVID-19 dijalankan pada 5 September 2020 dan didapati positif.

Kes kedua kluster ini (Kes ke-9456) merupakan anggota kesihatan di pusat perubatan di Kedah. Beliau juga merupakan kontak rapat kepada kes indeks. Beliau bergejala sejak 5 September 2020 dan mendapatkan rawatan di pusat perubatan yang sama. Ujian saringan COVID-19 dijalankan pada 5 September 2020 dan didapati positif. Kedua-dua kes telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk diasingkan dan diberi rawatan.

Susulan itu, pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan. Sehingga 7 September 2020, seramai 57 orang telah disaring. Daripada jumlah ini:

  • Dua (2) kes dikesan positif COVID-19; dan
  • 55 individu masih menunggu keputusan.

Sumber: KP Kesihatan Malaysia

(Visited 5 times, 1 visits today)

COMMENTS