Dadah: Enam individu termasuk seorang remaja ditahan di Jitra
Dadah: Enam individu termasuk seorang remaja ditahan di Jitra

Dadah: Enam individu termasuk seorang remaja ditahan di Jitra

Polis menahan enam individu termasuk seorang remaja berumur 16 tahun dan merampas dadah seberat 23.94 kilogram bernilai RM576,000 dalam serbuan di Kampung Tanah Merah, Jitra, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan berkata dalam serbuan yang dilakukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah itu, tiga lelaki dan tiga wanita ditahan di sebuah rumah dua tingkat pada pukul 3.45 pagi.

“Hasil pemeriksaan polis menjumpai satu beg kanvas di ruang tamu rumah itu yang di dalamnya mengandungi 12 bungkusan plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 5.44 kg, satu bungkusan plastik berwarna hijau yang mengandungi satu bungkusan plastik lutsinar berisi syabu seberat 1.01 kg dan 24 bungkusan plastik syabu dengan berat 905.20 gram.

“Keenam-enam suspek yang berumur antara 16 hingga 34 tahun itu ditahan dan beberapa barang kes turut disita bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Katanya, antara barangan yang dirampas ialah masing-masing sebuah kereta jenis Mercedes Benz, Honda Civic, Perodua Myvi, kereta BMW dan Honda City serta tiga motosikal, barangan kemas dan wang tunai berjumlah RM10,260.

Hasanuddin berkata siasatan lanjut ke atas seorang daripada suspek itu telah membawa kepada penemuan beberapa lagi dadah di dalam sebuah kereta jenis Proton Satria Neo yang diletakkan berhampiran kawasan rumah berkenaan.

“Di dalam kereta tersebut polis menemukan satu kotak kertas yang mengandungi 15 bungkusan plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 6.75 kg, satu beg kanvas berisi 15 bungkusan plastik heroin seberat 6.75 kg dan satu beg galas berisi tiga bungkusan dadah syabu seberat 3.04 kg.

“Jumlah keseluruhan dadah yang berjaya dirampas ialah heroin seberat 18.95 kg yang bernilai RM378,000 dan syabu seberat 4.99 kg yang bernilai RM198,000,” katanya.

Beliau berkata tiga daripada suspek didapati mempunyai rekod jenayah lampau yang melibatkan pelbagai kes dan hasil saringan air kencing pula mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis syabu.

“Permohonan reman akan dibuat hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

— BERNAMA

(Visited 78 times, 1 visits today)

COMMENTS