Demokrasi Malaysia runtuh kerana "Langkah Sheraton"
Demokrasi Malaysia runtuh kerana “Langkah Sheraton”

Demokrasi Malaysia runtuh kerana “Langkah Sheraton”

Persoalan yang barangkali menjadi isu dalam pemikiran ramai pemerhati politik Malaysia juga di luar Malaysia ialah apakah demokrasi pilihanraya yang diamalkan sekarang akan terus bertahan setelah sesebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat akhirnya jatuh menerusi tindakan “lompat parti” oleh sekumpulan wakil rakyat yang terpilih menerusi piawai demokrasi kepada parti lain – lompatan yang menyebabkan kerajaan asal kehilangan majoriti di Parlimen sekaligus kuasa berpindah kepada kelompok yang kalah sebelum itu dalam pilihanraya yang telah diadakan?

Agaknya apakah perasaan pendukung demokrasi sekiranya amalan ini berterusan dalam system politik sesebuah negara?

Ini disebabkan akhir-akhir ini kita telah menyaksikan fenomena ini terjadi di Malaysia Februari lalu dan berterusan sehingga beberapa bulan kemudian sehingga terhenti sekejap apabila pilihanraya negeri dipanggil secara mengejut di Sabah pada bulan lalu.

Yang menjadi masalah dalam konteks demokrasi pilihanraya ialah peranan pilihanraya itu sendiri – sejauhmanakah pilihanraya masih akan menjadi penentu sesebuah parti yang memenanginya akan dapat terus menerajui kerajaan bagi penggal yang dimenanginya?

Apakah tidak akan berlaku pertukaran separuh jalan apabila sebilangan wakil rakyat beralih sokongan daripada parti yang memerintah kepada pembangkang yang memungkinkan pembangkang pula mengambil laih pentadbiran?

Dalam kes negara ini, episod yang dikenali sebagai “Langkah Sheraton” menyaksikan sebilangan ahli Parlimen dari parti yang memerintah ketika itu bergabung dengan parti pembangkang dan mewujudkan blok baru yang mempunyai ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk sebuah kerajaan baru.

Keadaan seperti ini boleh dihujah sebagai satu kemungkinan sekiranya perbezaan bilangan ahli Parlimen antara blok kerajaan dengan blok pembangkang kecil, kerana ia memberi ruang kepada operasi “melompat” justeru menyebabkan blok pemerintah hilang majoriti dan terbentuk kerajaan baru.

Persoalannya juga ialah berapakah bilangan kerusi yang ideal bagi berlakunya operasi “lompat” tersebut?

Namun, dalam tulisan ringkas ini penulis tidak berhasrat membincangkan operasi lompat-melompat dan kemungkinan pertukaran kerajaan menerusi kebarangkalian angka yang mencukupi dan kaedah seluruh operasi itu berjalan.

Yang menjadi isu di sini ialah apakah kesannya kepada amalan demokrasi itu sendiri, kesan kepada sentimen warga negara yang mengundi dengan harapan mendapatkan sebuah kerajaan yang mereka ingini.

Lumrah memahami bahawa rakyat memilih wakil rakyat dan parti politik tertentu dengan harapan pilihan itu akan menang dan seterusnya membentuk kerajaan.

Tidak kira mana parti yang mereka pilih, ia merupakan apa yang diistilahkan sebagai “hak demokrasi” rakyat. Apabila keputusan diumumkan, dalam demokrasi yang agak matang parti yang menang akan diberi sokongan oleh rakyat walaupun seseorang itu tidak bersetuju dengan kemenangan parti yang berjaya kerana berlawanan dengan pilihan dia sendiri.

Ini bermakna parti yang kalah perlu menjadi pembangkang dalam sistem itu dan terus berusaha untuk menjadi pemerintah dalam pilihanraya yang akan datang. Parti pemerintah dan parti pembangkang sama-sama mempunyai peranan penting di dalam sistem demokrasi yang matang.

Oleh itu sudah tentu harapan pengundi untuk melihat pilihan mereka – dipanggil juga mandat – kekal sehingga habis tempoh merupakan suatu prinsip utama dalam sistem demokrasi berpilihanraya. Sekiranya ia dicabuli, pastinya aka nada kesan jangka panjang.

Apakah agaknya kesan paling ketara sekiranya budaya politik sedia ada ditukar sehingga membelakangi prinsip utama demokrasi itu? Nampaknya ia akan menjadikan rakyat bosan dengan pilihanraya.

Ini disebabkan tiada jaminan wakil yang dipilih akan terus mempertahankan kedudukannya sebagai wakil bagi parti yang ditandinginya apabila amalan “lompat-melompat” menjadi ikutan.

Untuk apa seseorang pengundi keluar mengundi seseorang calon yang pada perkiraannya akan bersama dengan sesebuah parti yang menjadi pilihannya, akhirnya mendapati calon tersebut melompat ke parti lain yang bukan pilihan pengundi tersebut?

Akhirnya akan timbul semacam suasana hambar, dengan bilangan pengundi yang keluar mengundi semakin mengecil. Yang pastinya pendukung tegar demokrasi yang kebanyankannya dalam kalangan masyarakat sivil akan lebih menumpu kepada saranan-saranan menerusi badan bukan kerajaan dan bukannya parti politik.

Relevansi parti politik dalam sistem itu akan semakin tercabar apabila minat rakyat kepada proses pilihanraya menjadi pudar dan semakin hilang.

Sebab itu penulis melihat kemunculan parti baru seperti Muda yang digerakkan oleh aktivis muda sebagai satu usaha bertujuan “menyelamatkan” demokrasi pilihanraya di Malaysia. Buat masa ini parti ini masih baru tetapi tarikannya adalah pada golongan muda yang merupakan generasi yang terkesan dengan perkembangan baru dalam system politik Malaysia.

Cuma demokrasi berpilihanraya akan terus tergugat sekiranya parti-parti politik tidak kira yang lama atau baru termasuk Muda memilih untuk mengamalkan budaya politik “melompat” atas sebab-sebab yang hanya mereka sendiri ketahui. Mangsanya ialah sistem, dan rakyat tentunya.

_____________________

DR ABDUL LATIFF MOHD IBRAHIM merupakan bekas Prof Madya di Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur.

Berita Penuh : MalaysiaDateline

(Visited 13 times, 1 visits today)

COMMENTS