Dewan Rakyat: Wan Ahmad Fayhsal menghormati kenyataan Idris tentang Bon Odori
Dewan Rakyat: Wan Ahmad Fayhsal menghormati kenyataan Idris tentang Bon Odori

Dewan Rakyat: Wan Ahmad Fayhsal menghormati kenyataan Idris tentang Bon Odori

KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad pada pertengahan tahun ini supaya umat Islam tidak menghadiri Festival Kebudayaan Jepun, Bon Odori tidak ada salahnya.
Malah, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal lagi, beliau bersetuju bahawa Bon Odori bukan bersifat indigenous, atau satu budaya yang berasal dari negara ini.
Namun, Wan Ahmad Fayhsal berkata, tiada sebarang peruntukan undang-undang digunakan bagi maksud untuk menghalang penganjuran festival tersebut, termasuk pesta Oktoberfest.

“Soalan itu sewajarnya ditujukan kepada Senator Menteri Agama. Tapi saya jawab sebagai seorang Muslim, dan saya melihat dalam Rukun Negara ada satu fasa – Kesopanan dan Kesusilaan. Sebarang perbezaan dari segi kefahaman budaya dan agama, contoh Bon Odori, bukan indigenous atau budaya masyarakat kita.

“Walaupun ada pendapat berbeza, dan Menteri ada pandangan, kita perlu hormat pandangan masing masing. Cuma kita tidak guna undang-undang dari segi kebebasan, terhadap mana-mana pihak untuk mengamalkan budaya mereka,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng pada Rabu, yang mahu mengetahui impak kenyataan Idris terhadap Agenda Perpaduan Nasional Negara.
Pada Jun lepas, Idris menasihati Umat Islam untuk tidak menghadiri sebarang penganjuran festival Bon Odori, kerana ia mengandungi unsur pemujaan.

Aktiviti itu dikatakan tradisi masyarakat Jepun beragama Buddha, yang bersifat memuja nenek moyang yang sudah meninggal dunia, dan dalam masa sama mendoakan mereka tidak menderita selepas mati.
Susulan kenyataan Idris, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan pesta itu wajar diteruskan dan agar Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak menyekat festival itu.

(Visited 25 times, 1 visits today)

COMMENTS