Doktor kontrak: Jangan layan mereka seperti pekerja kelas dua – Amanah Kedah

Doktor kontrak: Jangan layan mereka seperti pekerja kelas dua – Amanah Kedah

Parti Amanah Negara Negeri Kedah hari ini menggesa kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan mengkaji semula semua tuntutan doktor kontrak serta melakukan satu reformasi secara menyeluruh terhadap sistem kesihatan negara.

Pengerusinya, YB. Dato’ Hj Phahrolrazi bin Mohd Zawawi dalam satu kenyataan menegaskan tuntutan itu wajar dipertimbangkan secara serius kerana negara sedang menghadapi pandemik wabak Covid-19 ketika ini dan khidmat mereka sangat diperlukan supaya sistem kesihatan negara boleh terus berfungsi dan tidak mengalami kegagalan.

“Sistem Kesihatan negara patut berkembang dan di tambahbaik dalam semua aspek dan asas kepada penambahbaikan itu ialah sumber manusia. Sekali lagi pandemik Covid-19 telah mendedahkan segala kepincangan sistem kesihatan negara. Malaysia adalah negara yang menguruskan gelombang ketiga wabak ini yang paling buruk dalam dunia. Selepas 6 bulan lebih darurat, 2 bulan lebih PKP 3.0, negara mencatat angka harian tertinggi melebihi 13 ribu kes dan angka kematian tertinggi dalam dunia berbanding jumlah penduduk,” ujar beliau.

YB. Dato’ Hj Phahrolrazi Bin Mohd Zawawi, Pengerusi AMANAH Negeri Kedah

Sambil menyifatkan lebih 23,000 doktor kontrak ini adalah aset negara, Amanah Kedah berpandangan mereka berhak dilayan sebagai penjawat awam lain, bukannya diperlakukan seperti pekerja kelas dua. “Kerajaan yang sebenarnya gagal melakukan reformasi terhadap sistem kesihatan negara dan kegagalan ini di bebankan keatas lebih 23 ribu orang doktor kontrak,” tambah beliau lagi.

Untuk rekod, Malaysia mempunyai seramai 71,041 doktor perubatan, seramai 51,912 (73%) berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Seramai 23 071 (32%) orang adalah doktor kontrak dan sejak 2016 hanya 786 orang (3.4%) telah diserap ke jawatan tetap.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )