Dr Maszlee Malik tidak menyesal sertai Bersatu atau Pejuang

Dr Maszlee Malik tidak menyesal sertai Bersatu atau Pejuang

Bekas menteri pendidikan itu berkata dia tidak menyesal menyertai Bersatu atau Pejuang kerana berpendapat ia merupakan pengalaman berharga baginya.

“Dalam kehidupan kita ini tak ada perkara yang sia-sia. Ada perkara yang kita lakukan berjaya kita lakukan, ada yang kita dapat hasratkan, ada yang kita lakukan tak seperti yang kita inginkan.

“Kita tak boleh sesalkan, kita tak boleh rasa sia-sia. Semuanya mempunyai pengajaran, pengalaman dan yang lebih penting ia dapat mematangkan kita dalam kehidupan,” katanya.

Bekas pensyarah kanan Univeristi Islam Antarabangsa itu amat berahsia apabila ditanya mengenai hala tuju politiknya untuk masa akan datang terutamanya rancangan pada pilihan raya umum.

Dia sebaliknya lebih selesa untuk memberikan jawapan bahawa buat masa ini dia ingin menumpukan tugas memperjuangkan isu-isu berkaitan pendidikan dan khidmatnya untuk penduduk di Simpang Renggam.

“Saya rasa apa yang lebih penting waktu ini ialah sejauh mana amanah yang diberikan sewaktu PRU14 yang lalu dapat saya berikan dan tumpahkan sepenuhnya.

“Saya pernah menjadi menteri yang mewakili kawasan tersebut, saya pernah (menjadi) wakil rakyat yang bukan menteri tapi sebahagian daripada kerajaan, saya menjadi pembangkang wakil rakyat di kawasan berkenaan dan kini saya wakil rakyat bebas di kawasan berkenaan.

“Pada saya di mana pun saya berada, saya perlu menumpahkan segala usaha dan juga tenaga untuk kebajikan rakyat di Simpang Renggam.. Kesudahannya mereka yang akan menentukan,” katanya.

Sumber Berita : MalaysiaKini

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )