Empat geng pecah rumah rebah setelah sembilan suspek di tahan Polis
Empat geng pecah rumah rebah setelah sembilan suspek di tahan Polis

Empat geng pecah rumah rebah setelah sembilan suspek di tahan Polis

Polis berjaya melumpuhkan kegiatan empat kumpulan penjenayah yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah selepas menahan sembilan lelaki berumur antara 20 dan 37 tahun dalam beberapa serbuan di sekitar daerah Kuala Muda, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzly Abu Shah berkata kesemua mereka yang terdiri daripada anggota kumpulan ‘Geng Anchui’, ‘Geng Kavi Baba’, ‘Geng Alif’ dan ‘Geng Kevin’ ditahan dalam operasi antara 21 Okt hingga Isnin lepas.

Beliau berkata tangkapan pertama membabitkan empat anggota Geng Anchui pada 27 Okt lepas ekoran kes pecah rumah yang dilaporkan enam hari sebelum itu di Taman Seroja, di sini.

“Empat suspek berumur antara 25 dan 33 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Seroja dan Taman Bandar Baru kira-kira pukul 7.00 petang dan polis menemui seunit komputer riba, seunit cakera keras, mesin rumput, sebuah ‘chainsaw’ dan tong gas yang dipercayai hasil kegiatan pecah rumah.

“Semakan mendapati tiga daripada suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau serta dua rekod berkaitan dadah, dan kesemua mereka didapati positif dadah jenis methmaphetamine. Hasil curi dipercayai akan dijual dan digunakan untuk membeli dadah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Adzly berkata dua anggota Geng Kevin Baba yang masing-masing berusia 33 dan 37 tahun pula ditahan di sebuah rumah di Taman Petani Jaya, Ahad lepas yang sebelum itu telah memecah masuk sebuah restoran di Taman Kampian, di sini pada 30 Okt lepas.

“Geng ini melarikan tiga unit televisyen, set karaoke, enam kotak pembesar suara, 150 karton minuman keras menggunakan lori, membabitkan kerugian lebih RM60,000. Polis juga sedang giat mengesan dua lagi anggota kumpulan itu yang masih bebas,” katanya.

Katanya polis juga berjaya menahan dua anggota Geng Alif dan seorang anggota Geng Kevin berusia antara 20 hingga 27 tahun yang melakukan jenayah pecah rumah di dua lokasi iaitu di Lagenda Height dan Taman Jerai Indah, di sini pada Isnin lepas.

Beliau berkata susulan penahanan sembilan suspek itu, pihaknya percaya telah berjaya menyelesaikan 12 kes pecah rumah yang berlaku di daerah ini sejak bulan lepas, dan semua suspek disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Adzly berkata pihaknya telah melakukan 56 serbuan dengan 72 tangkapan antara 1 Jan hingga 31 Okt lepas menerusi ‘Ops Dadu Khas’ bagi membanteras kegiatan judi atas talian di daerah ini.

Katanya 22 individu yang ditahan berumur 18 tahun dan ke bawah dengan sembilan daripada mereka masih bersekolah.

— BERNAMA

(Visited 1 times, 1 visits today)

COMMENTS