Empat lelaki ditahan, 379 kg daun ketum dirampas di Kuala Nerang

Empat lelaki ditahan, 379 kg daun ketum dirampas di Kuala Nerang

Polis menahan empat lelaki termasuk seorang warga Thailand dan merampas 13 guni putih berisi daun ketum seberat 379 kilogram (kg) di kawasan ladang getah di Durian Burung, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Terap DSP Mulkiaman Manzar berkata kesemua suspek yang berumur 22 hingga 27 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Kem Sahara, Durian Burung pada pukul 3 petang.

“Anggota ATM yang melakukan rondaan Op Benteng telah terserempak dengan empat suspek yang ketika itu sedang berdiri di hadapan longgokan guni berkenaan. Semasa menghampiri kesemua suspek, mereka cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan oleh anggota ATM.

“Hasil pemeriksaan di dalam guni menjumpai gulungan plastik lutsinar yang mengandungi daun ketum yang setiap satu guni dianggarkan seberat 30 kg,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mulkiaman berkata siasatan mendapati kesemua suspek mengambil upah daripada seorang individu dikenali sebagai ‘Pak Lang’ untuk membawa daun ketum berkenaan dari sempadan Malaysia ke Thailand melalui lorong tikus dengan bayaran RM50 bagi setiap guni.

“Lelaki Thailand yang berumur 27 tahun itu pula dipercayai bertindak sebagai pemandu arah serta menjadi orang tengah untuk membawa masuk daun ketum ke negaranya. Mereka telah menjalankan aktiviti penyeludupan ini hampir enam bulan mengikut permintaan daripada orang tengah.

“Kita percaya mereka bawa masuk daun-daun ketum ini pada waktu malam dengan menggunakan motosikal. Lokasi mereka juga sentiasa berubah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa dan mereka mampu menyeludup daun ketum ke Thailand sebanyak 15 guni setiap seorang dalam tempoh seminggu,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut merampas empat motosikal yang disyaki digunakan untuk menjalankan aktiviti penyeludupan itu.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman empat hari bermula hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

— BERNAMA

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )