Enam kit ujian kendiri Covid-19 lulus dan boleh digunakan
Enam kit ujian kendiri Covid-19 lulus dan boleh digunakan

Enam kit ujian kendiri Covid-19 lulus dan boleh digunakan

Kementerian Kesihatan melalui Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) sudah meluluskan enam kit ujian kendiri Covid-19 setakat hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kesemua kit berkenaan melepasi ujian prestasi dan memenuhi keperluan-keperluan ditetapkan sebelum diberikan kelulusan bersyarat.

Beliau berkata, kit-kit ujian itu dibekalkan ke farmasi-farmasi komuniti dan fasiliti kesihatan untuk dibeli orang ramai.

Menurutnya, sebanyak 14 kit ujian lagi sedang menjalani ujian prestasi oleh makmal-makmal terpilih ketika ini.

“Sebanyak 35 kit ujian lagi akan dibuat penilaian Jawatankuasa Penilaian Teknikal Kit Ujian Covid-19 sebelum menjalani ujian prestasi oleh makmal-makmal terpilih.

“Apabila proses penilaian ini selesai kelak, pengguna dapat lebih banyak pilihan kit ujian untuk mereka menjalankan ujian kendiri masing-masing,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Adham berkata, kementeriannya juga menetapkan mana-mana syarikat yang diberi kelulusan bersyarat diminta supaya mengedarkan kit-kit ujian kendiri Covid-19 melalui farmasi komuniti berlesen dan fasiliti kesihatan yang dibenarkan.

Menurutnya, ia bertujuan memastikan kawalan dari segi penggunaan dalam kalangan orang awam yang masih perlu mendapat pandangan profesional mengenai teknik yang betul menggunakan kit berkenaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya melupuskan kit-kit ujian yang digunakan dengan cara yang betul bagi mengelakkan kemungkinan penularan yang tidak diingini.

“Kit ujian ini juga perlu panduan jelas khususnya berkaitan langkah keselamatan dan kebersihan semasa menjalankan ujian dan langkah pelupusan selepas penggunaannya.

“Ia bagi memastikan tiada individu lain yang terdedah memandangkan pengendalian sampel itu melibatkan virus yang berbahaya dan boleh membawa maut,” katanya.

–UTUSAN

(Visited 17 times, 1 visits today)

COMMENTS