Enam tempat makan murah dan sedap di Alor Setar
Enam tempat makan murah dan sedap di Alor Setar

Enam tempat makan murah dan sedap di Alor Setar

Jika anda berkunjung ke Alor Setar, anda pasti tidak akan susah mencari kedai atau restoran yang menawarkan pelbagai jenis makanan. Sama ada masakan tempatan mahupun “western”, semua ada dan sedia untuk dinikmati.

Sungguhpun cuaca di sini agak panas, tetapi itu bukan penghalang untuk anda terus menjelajah di sekitar bandar Alor Setar yang merupakan ibu negeri Kedah. Jom KedahKini.com kongsikan enam tempat makan yang murah dan sedap di sekitar Alor Setar. Perjalanan ke satu-satu destinasi hanya memakan masa sekitar 5 minit hingga 15 minit dari bandar Alor Setar.

Sarapan Pagi:

ALOR SETAR BREAKFAST STATION

Lokasi : Taman Puspa Kencana, 05350 Alor Setar, Kedah

Kalau anda masih tercari cari kedai makan untuk mengisi perut pada waktu pagi, singgahlah di Alor Setar Breakfast Station ini. Kedai makannya ringkas dan bersaiz sederhana tetapi makanan yang disajikan bukan calang calang.

Dibuka hanya pada waktu pagi hingga tengahari, anda boleh merasai pengalaman bersarapan suasana ala kampung dengan hidangan antarabangsa seperti french toast, oletto iaitu set sosej, keju dan telur yang dibalut dengan roti jala, roti telur meleleh dan banyak lagi menu hebat dan kreatif. Buat yang menggemari makanan tempatan, anda boleh cuba nasi lemak popular mereka, dijamin sedap.

__________________________________

WARUNG KLASIK

Lokasi : Warung Klasik, Jalan Kangar – Alor Setar, Kampung Padang Lalang, 06250 Alor Setar, Kedah

Sesuai dengan nama warung yang diberi, tentunya hidangan disini menyajikan pelbagai jenis masakan tradisional kegemaran orang Kedah yang klasik dan asli. Hidangan popular disini ialah lempeng atau pek nga kelapa yang dimakan bersama gulai ikan kembung.

Lempeng kelapanya bertekstur lembut dan manis kerana menggunakan kelapa muda sebagai intinya. Selain lempeng kelapa, lempeng pisang juga turut menjadi hidangan wajib bagi pelanggan setia warung ini.

Konsep warungnya yang terbuka berlatar belakangkan ukiran kayu tradisional menjadi lokasi warung ini pilihan pelancong untuk merasai sendiri suasana kampung sambil menjamu hidangan lazat.

__________________________________

Makan Tengah Hari

RESTORAN GULAI 7 KAWAH

Lokasi : Jalan Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah

Nak cari masakan gulai kampung yang pelbagai dan asli? Kunjungilah restoran gulai 7 kawah ini.

Menu istimewa disini ialah gulai kawah ayam kampung, daging, itik, rusa, kepala ikan dan pelbagai lagi. Menariknya kesemua lauk-pauk untuk anda pilih, dihidangkan di dalam kawah untuk mengekalkan keaslian rasanya.

 

Untuk melengkapkan lagi hidangan, anda bolehlah memesan pelbagai jenis hidangan santai kegemaran orang utara seperti pulut ayam, pulut pelam dan sebagainya. Harga yang ditawarkan disini juga tidak mengecewakan kerana murah setanding dengan kualiti makanan yang disajikan. Cepat datang dan cuba!

__________________________________

KAK YANG GULAI PANAS IKAN TEMENUNG ORI KUALA KEDAH

Lokasi : Jalan Marina Harbour 06600 Kuala Kedah, Kedah

Apa kata, kali ini anda cuba masakan asli orang Kuala Kedah. Menariknya di sini, anda perlu membeli sendiri makanan laut yang terletak di jeti bersebelahan dengan kedai Kak Yang. Ada sotong, ketam, udang, ikan dan macam-macam makanan laut yang segar-segar.

Setelah anda selesai membeli, terus saja ke bahagian masakan kedai Kak Yang. Bagi tahu sahaja tukang masak anda nak makanan laut tadi dimasak apa. Masakan yang disediakan juga sangat sedap dan segar. Harga yang ditawarkan juga sangat murah dan berpatutan dengan kelazatan yang disajikan.

Jangan lupa untuk memesan gulai ikan temenung. Tidak sah kalau anda tidak memesan menu istimewa kedai Kak Yang.

__________________________________

Makan Malam

RESTORAN IKAN BAKAR ANJUNG KUALA, KUALA KEDAH

Lokasi : Jalan Marina Harbour 06600 Kuala Kedah, Kedah

Jika anda ingin mengakhiri penjelajahan anda di sekitar Alor Setar, tidak sah sekiranya anda tidak berkunjung ke Restoran Ikan Bakar Anjung Kuala yang terletak di Kuala Kedah. Lokasi restoran tidak jauh dari Kedai Kak Yang Gulai Ikan Temenung.

Menu yang disajikan adalah masakan melayu Kedah. Anda boleh mencuba ikan bakar istimewa yang menjadi menu utama di sini. Lokasi yang bersebelahan dengan laut membuatkan restoran ini menjadi antara restoran kegemaran masyarakat tempatan. Di samping anda dapat merasa keenakan masakan makanan laut, anda juga boleh menikmati suasana matahari terbenam dan juga bunyi ombak yang menghempas pantai.

Pelbagai menu menarik yang perlu anda cuba sekiranya berkunjung ke sini. Yang pastinya harga yang ditawarkan sangat berbaloi dan murah. Anda tidak perlu risau poket kempis selepas makan di sini. Masakan yang sedap, dan harga yang berpatutan. Hubungi :O19 4301888 | 019 5706867

__________________________________

NASI KANDAR YASMEEN ALOR SETAR

Lokasi : Lebuhraya Darul Aman, Alor Setar, Kedah

Sememangnya juadah Nasi Kandar dan Kedah memang tidak dapat dipisahkan. Restoran Nasi Kandar Yasmeen ini merupakan antara restoran nasi kandar yang cukup popular dan menjadi kegemaran ramai.

Lauk-pauk yang dihidangkan bukan calang-calang, semuanya dimasak pekat dan terasa masakan rempahnya.

Lauk yang popular disini tentunya ayam goreng panas, telur rebus dan kuah campuran kari bersama sayur, pasti menyelerakan apatah lagi dimakan pada waktu tengahari. Anda juga pasti akan berpuas hati kerana rata-rata pelanggan menyifatkan restoran ini murah dan cukup berbaloi setanding dengan kualiti makanan yang dihidangkan.

__________________________________

Bagi edisi kali ini, KedahKini.com kongsikan enam tempat makan yang murah dan sedap. Insya Allah untuk edisi yang lain pihak kami akan kongsikan tempat-tempat makan lain yang menarik untuk anda kunjungi. Jika anda ada sebarang cadangan, boleh hubungi kami di Facebook KedahKini.com

(Visited 414 times, 1 visits today)

COMMENTS