Food Bank Chenang Volunteer bantu masyarakat Langkawi
Food Bank Chenang Volunteer bantu masyarakat Langkawi

Food Bank Chenang Volunteer bantu masyarakat Langkawi

Sejak seminggu lalu, sebuah motel di Jalan Pantai Chenang di sini menjadi tumpuan ramai, bukan untuk menginap sebaliknya bagi mendapatkan sumbangan makanan kering secara percuma diberikan oleh Food Bank Chenang Volunteer.

Bank makanan itu diwujudkan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Chenang Volunteer yang bekerjasama dengan The Cabin Langkawi, bagi mengagihkan barang makanan kering yang diterima daripada NGO dan orang perseorangan.

Bercakap kepada Bernama, pemilik motel The Cabin Langkawi Datuk Noorazly Rosly berkata Food Bank Chenang Volunteer wujud hasil perbincangan bersama beberapa orang rakan bagi membantu penduduk sekitar Langkawi, khususnya yang bekerja dalam sektor pelancongan dan kini terkesan oleh pandemik COVID-19.

“Hasil perbincangan bersama Chenang Volunteer yang dinaungi oleh Ahli Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan Nor Saidi Nanyan, kita wujudkan bank makanan ini.

“Pada asalnya bank makanan ini hanya untuk pekerja industri pelancongan yang terjejas, namun ada juga penduduk sekitar yang datang. Kita sentiasa terbuka dan alu-alukan sesiapa sahaja datang ambil stok makanan kering yang disediakan,” katanya yang ditemui hari ini.

Mengulas lanjut, Noorazly yang juga Timbalan Presiden Sektor Utara Persatuan Hotel Budget Malaysia (Mybha) berkata orang ramai boleh datang untuk mengambil sumbangan makanan kering seperti beras, gula, garam, telur, sardin, kopi, teh, biskut dan mi segera bermula 10 pagi hingga 10 malam.

“Minggu pertama Food Bank Chenang Volunteer dibuka tidak begitu ramai yang datang, namun bermula Isnin lalu (9 Nov) lebih 100 orang yang datang setiap hari.

“Tadi kita edarkan kira-kira 300 pek makanan kepada orang ramai,” katanya yang turut mengalu-alukan sumbangan daripada mereka yang berminat.

— BERNAMA

(Visited 7 times, 1 visits today)

COMMENTS