Gagal kawal kenderaan, 3 maut dan 2 cedera dalam kemalangan
Gagal kawal kenderaan, 3 maut dan 2 cedera dalam kemalangan

Gagal kawal kenderaan, 3 maut dan 2 cedera dalam kemalangan

Rompin: Tiga individu maut manakala dua cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 98.5 Jalan Kuantan-Segamat, dekat Muadzam Shah, di sini, hari ini.

Mereka yang meninggal dunia ialah Rizal Awing, 18, dari Kampung Kachong, Muadzam Shah, Rompin manakala dua lagi mangsa belum dikenal pasti.

Dua yang cedera ialah Muhammad Hafiz Muhammad Hadits, 31, dan Syed Husain Yaacob Ali, 37, masing-masing dari Seremban, Negeri Sembilan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada 4.26 pagi.

Katanya, kemalangan membabitkan kereta Proton Saga dan BMW X1.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila BMW X1 yang dipandu Muhammad Hafiz dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Terengganu.

“Setibanya di tempat kejadian tiba-tiba Proton Saga yang dipandu Rizal datang dari arah bertentangan memasuki ke laluan BMW X1 secara mengejut lalu bertembung.

“Akibat kemalangan itu, pemandu dan dua penumpang Proton Saga mengalami kecederaan di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang BMW X1 mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kegagalan pemandu Proton Saga mengawal kenderaan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Pahang), Ismail Abdul Ghani berkata, enam pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah ke lokasi sebaik dimaklum kejadian pada 4.28 pagi.

“Setibanya di lokasi kemalangan, tiga lelaki tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lelaki mengalami kecederaan ringan dan operasi tamat pada 5.17 pagi,” katanya. —Metro

(Visited 22 times, 1 visits today)

COMMENTS