Gagasan 'kerusi muafakat': Kejujuran Pas ditagih
Gagasan ‘kerusi muafakat’: Kejujuran Pas ditagih

Gagasan ‘kerusi muafakat’: Kejujuran Pas ditagih

PAS boleh melupakan impiannya membentuk “kerusi muafakat” bersama Umno-BN jika mereka masih berdolak-dalik dalam pendirian politik mereka.

Felo penyelidik di Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel), Awang Azman Awang Pawi, berkata ketika ini isu yang melatari sikap PAS ialah kejujuran.

Bercakap kepada Malaysiakini, Awang Azman berkata, langkah awal yang perlu diambil PAS ialah menunjukkan kejujuran mereka dalam hubungan dengan Umno sebelum boleh memikirkan cadangan membentuk “kerusi muafakat” tersebut.

“PAS perlu tunjuk kejujuran mereka terlebih dahulu dengan Umno barulah MN (Muafakat Nasional) diterima oleh seluruh Umno.

“Jika PAS terus berdolak-dalik, tidak konsisten, masih mahu bersama Bersatu, maka PAS boleh lupakan sahaja MN daripada berlaku bagi PRU akan datang,” katanya.

Muafakat Nasional adalah piagam diperakukan Umno dan PAS dan ditandatangani pada 14 Sept 2019. Ia terjalin selepas Umno hilang kuasa dalam kerajaan melalui PRU ke-14.

Bagaimanapun, hubungan antara Umno dan PAS menjadi renggang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, apabila PAS membentuk PN bersama Bersatu pada 2020 dan pada masa sama cuba mengekalkan hubungan dengan Umno melalui MN.

Ketika PAS terus rapat dengan Bersatu – yang dimusuhi Umno – beberapa pemimpin parti itu cuba menjernihkan kembali hubungan tersebut dan mendesak kerjasama sebelum kedua-dua parti menjadi kerajaan diteruskan.

Pada minggu lalu, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Mohd Zuhdi Marsuki mengemukakan cadangan pembentukan “kerusi muafakat” antara BN, Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Tanah Air (GTA) sebagai langkah mengekang kemenangan besar Pakatan Harapan (PH).

Perlu akur kepada Umno

Kata setiausaha politik Menteri Alam Sekitar dan Air itu, ketika ini PH dipercayai mempunyai potensi besar untuk memenangi PRU akan datang.

Awang Azman berkata cadangan Mohd Zuhdi itu sebenarnya akan memberi kesan yang signifikan dalam keputusan PRU nanti jika ia memberi kelebihan kepada Umno.

“Berdasarkan keadaan sebelum ini, kerjasama MN mampu diwujudkan semula sekiranya ia tidak melibatkan parti Bersatu.

“Selain itu, kerjasama itu pula harus melibatkan pengagihan kerusi berdasarkan kekuatan yang Umno ada, bukan menyerahkan kerusi strategik Umno kepada PAS.

“PAS pula perlu akur dengan ketetapan Umno,” katanya.

Memberi satu contoh berdasarkan cadangan Mohd Zuhdi itu, Awang Azman berkata, masa depan MN cerah jika PAS sanggup bertolak-ansur dengan memberikan 27 kerusi parlimen yang mungkin dikuasai PH kepada Umno.

Pada masa sama, katanya, PAS pula perlu berpuas hati dengan menumpukan semua kerusi yang mereka menangi pada 2018 saja.

“Jika ini berlaku, masa depan untuk MN kembali seperti waktu awal dulu adalah cerah.

“Tambahan pula dengan keterbukaan begitu, maka ia akan membuktikan PAS benar-benar jujur mahu PH dikalahkan dan sanggup akur dengan ketetapan Umno,” katanya.

Sementara itu, bekas pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia Azmi Hassan berpendapat kerjasama MN masih relevan kerana didakwa merupakan “harapan bagi pengundi Melayu”.

Bagaimanapun, katanya ia sukar untuk direalisasikan selepas isu yang timbul antara Umno dan PAS sebelum ini.

“MN masih relevan sebenarnya kerana itu adalah harapan pengundi-pengundi Melayu tetapi oleh kerana sejarah lampau, ia sukar untuk dilaksanakan ketika ini.

“Kalau ditanya sama ada MN masih relevan atau tidak, jawabnya, MN masih relevan,” katanya kepada Malaysiakini.

Melihat senario politik dan penerimaan rakyat ketika ini, tambah Azmi, politik berdasarkan kaum dan agama masih kuat dalam negara ini.

“Jika MN itu terjalin sebelum PRU ke-15, sudah pasti undi Melayu itu akan menjurus kepada MN.

“Ini terbukti ketika dua, tiga pilihan raya kecil sebelum ini kerana itu yang dimahukan oleh pengundi Melayu dan beragama Islam,” katanya.

Azmi turut menjangkakan di negeri seperti Pahang, Perlis, Melaka dan Johor, kerjasama MN jika dipulihkan mampu memberi kesan positif kepada kedua-dua parti.

“Begitu juga dengan negeri yang PAS kuat iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, ia dapat dikekalkan kepada PAS,” katanya.

Untuk rekod, BN dan PN – yang termasuk PAS di dalamnya – bertembung semasa pilihan raya negeri (PRN) di Melaka pada Okt tahun lalu, dan di Johor pada Feb tahun ini.

Dalam kedua-dua PRN itu, BN mencapai kemenangan besar-besaran.

(Visited 35 times, 1 visits today)

COMMENTS