Gempar! Pensyarah yang perlekeh pelajar B40 akan diambil tindakan - UITM
Gempar! Pensyarah yang perlekeh pelajar B40 akan diambil tindakan – UITM

Gempar! Pensyarah yang perlekeh pelajar B40 akan diambil tindakan – UITM

SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan terhadap pensyarah kontrak di cawangan Seri Iskandar, Perak yang telah memperlekeh pelajar B40 universiti itu seperti tular di media sosial, awal pagi tadi.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, pihaknya sekarang sedang meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya mengenai perkara tersebut.

“Sebenarnya, saya diberitahu bahawa perkara tersebut berlaku pada semester lepas (antara September 2021 dan Januari 2022), bukan berlaku semalam. Isu ini seperti ada perancangan mengapa ia perlu di upload (muat naik) semalam.

“Bagaimanapun, kita telah dapat kesan pelajar tersebut dan kita telah hantar peralatan (komputer riba) yang diperlukannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Pelancaran program One To One Tree serta menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Hijau Malaysia dan UiTM di sini hari ini.

Roziah berkata, pensyarah kontrak di Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU) itu seorang yang bagus dan berpengalaman, mungkin ada sedikit kesilapan.

“Bukan pelajar sahaja stress (tertekan), pensyarah juga stress, kita jangka dia juga dalam keadaan tertekan. Pensyarah UiTM semua mahu yang terbaik untuk pelajar-pelajar mereka, mungkin pertanyaan dia (pensyarah kontrak tersebut) itu tidak kena dan terbawa-bawa,” katanya.

Roziah berkata, beliau perlulah bertimbang rasa untuk pelajar dan stafnya.

“Saya tidak bagi orang tularkan staf saya, saya perlu jaga kedua-dua belah pihak, pelajar saya sayang, staf juga saya sayang,” katanya.

Sementara itu, Roziah dalam satu kenyataan menyeru kepada para penuntut yang berhadapan dengan sebarang masalah agar dapat berhubung dengan pihak fakulti dan universiti untuk mendapatkan khidmat nasihat serta bantuansewajarnya bagi membantu melancarkan proses pembelajaran.

Menurut kenyataan itu, pihak universiti telah menyediakan pelbagai dana untuk kegunaan penuntut yang kurang berkemampuan seperti dana amanah pelajar, bantuan dari pusat zakat serta pihak alumni.

Awal pagi tadi tular di media sosial mengenai rakaman (kelas dalam talian) seorang pensyarah telah memperlekeh penuntutnya kerana tidak mempunyai komputer riba serta meminta penuntut sama menyuruh kakaknya menggadai emas bagi membeli peralatan tersebut. – Bernama

(Visited 30 times, 1 visits today)

COMMENTS