Hazmi gelar Dasuki Rani jahat selepas terbukti fitnah isu Tabung Haji

Hazmi gelar Dasuki Rani jahat selepas terbukti fitnah isu Tabung Haji

Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan menyelar sikap Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak Pas Pusat, Ahmad Dasuki Abdul Rani yang tidak meminta maaf selepas menabur fitnah berhubung isu Lembaga Tabung Haji (TH).

Hazmi yang juga dikenali sebagai Jeming berkata, banyak fakta salah tentang TH disebarkan demi memburukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Walau bagaimanapun, katanya, kebenaran telah terbukti di Dewan Rakyat kelmarin apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan TH tidak dikuasai oleh bukan Islam.

Bahkan, Jeming menyebutkan kembali jawapan bertulis kepada pertanyaan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa itu bahawa TH telah mencatat lebihan aset sebanyak RM1.9 bilion.

“Segala dakwaan sebelum ini adalah fitnah dan perbuatan yang jahat demi memburukkan kerajaan PH.

“Dulu disebarkan fitnah kononnya Dr Mujahid sebagai Menteri Agama ingin menjual aset TH kepada bukan Islam,” katanya menerusi saluran YouTube, Jeming Hassan hari ini.

Sehubungan itu, beliau melabelkan Dasuki yang terkenal dengan kuliah berkaitan cerita tentang azab kubur tersebut sebagai jahat.

“Ramai telah dikelirukan sebelum ini. Ramai yang telah percaya satu dakyah yang memang sangat jahat dikeluarkan seorang ustaz yang saya kira tidak layak dipanggil ustaz.

“Cukuplah saya panggil dia sebagai Dasuki Rani. Dasuki ini memang jahat. Dasuki adalah kaki fitnah dan siapa kenal dia ketika Ramadan lalu beliau buat solat tahajjud live di Facebook sambil meminta derma. Itulah Dasuki.

“Hari ini Allah telah buktikan kepada kita semua Dasuki memang jahat. Kenapa saya kata dia jahat?

“Kalau kita lihat dalam video sebelum ini di dalam masjid, beliau telah menabur fitnah kepada PH kononnya TH dimiliki oleh bukan Islam, hotel-hotel dan aset-aset TH hendak dilelong kepada bukan Islam

“Itu yang telah dinyatakan oleh Dasuki Rani di dalam masjid. Dasuki Rani menaburkan fitnah ini di dalam masjid,” tegas Hazmi.

Tidak insaf

Beliau juga berpendapat Dasuki yang merupakan anak saudara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat tersebut tidak insaf dengan fitnah yang ditaburkan sebelum ini.

“Oleh itu, saya berani menyatakan bahawa Dasuki adalah seorang yang jahat. Hari ini dia tidak insaf bahkan tidak mengambil peluang untuk memohon maaf kepada Dr Mujahid dan rakyat Malaysia selepas mengeluarkan satu fakta yang salah,” tambahnya lagi.

Dasuki dalam dalam satu sedutan kuliahnya di sebuah masjid menuduh aset-aset TH ketika pentadbiran kerajaan PH telah dijual kepada orang bukan Islam.

“Kenapa nak dijual kepada orang bukan Islam? Harta Tabung Haji, harta orang milik Islam. Dijual begitu. Rugi sangatkah Tabung Haji sampai peringkat nak dijual hotel-hotel yang telah dibina di kawasan strategik itu?

“Boleh dijual semata-mata kerana nak mengaut keuntungan. Dosa kamu jual ini kamu tanggung sampai akhirat nanti,” tegas Dasuki.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )