Hentikan Provokasi Dan Kontroversi Murahan Wahai MB Kedah - Asmirul
Hentikan Provokasi Dan Kontroversi Murahan Wahai MB Kedah – Asmirul

Hentikan Provokasi Dan Kontroversi Murahan Wahai MB Kedah – Asmirul

ALOR SETAR – Bekas Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Asmirul Anuar Aris berkata tindakan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor membabitkan isu ‘tokong’ dalam sukan bola sepak didakwa amat memalukan.

Menurut Asmirul, Sanusi selaku Menteri Besar dan Presiden KFA sepatutnya lebih berhemah dalam mengeluarkan apa-apa kenyataan.

“Tindakan memberi gelaran kepada sesiapa sekalipun adalah tidak baik dan Islam sendiri melarang perbuatan memberi gelaran yang tidak baik kepada seseorang. Walaupun tidak menyebut nama secara khusus, umum mengetahui siapakah individu yang dimaksudkan oleh Sanusi itu.

“Sepatutnya Presiden KFA perlu fokus kepada pasukan sendiri, situasi terkini pasukan KDA FC begitu membimbangkan. Empat perlawanan terakhir tanpa sebarang kemenangan sepatutnya membuatkan Sanusi dan pengurusan lebih menumpukan kepada pasukan dari mencari “gaduh” dengan pihak lain.

“Sebagai rakyat Kedah saya sendiri tidak bersetuju dengan tindakan Sanusi, malah bukan saya seorang sahaja ramai lagi yang tidak setuju dan malu dengan tindakan MB Kedah itu. Boleh dilihat reaksi tersebut di media sosial, ujar Asmirul.

Beliau turut mempersoal mengenai kejayaan yang diraih oleh pasukan bola sepak Kedah sepanjang dua tahun Muhammad Sanusi menjadi MB Kedah dan juga Presiden KFA.

“Semenjak Sanusi pegang Kedah Darul Aman (KDA) FC sudah berapa kejayaan yang beliau kecapi? Bukan lagi baik, malah semakin teruk. Lihat sahaja prestasi semasa pasukan Kedah yang terumbang-ambing ketika ini.

“Jangan terlalu sibuk dengan pasukan orang lain tumpukan sepenuh komitmen pada pasukan sendiri. Jangan terlalu suka mencari publisiti murahan sehingga merosakkan imej pasukan.

Mengulas lanjut, Asmirul Anuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan berkata, tindakan Muhammad Sanusi juga memberikan kesan kepada Sang Kenari apabila Syafiq Ahmad yang sedang berada dalam prestasi terbaik bersama Sang Kenari telah dipanggil pulang ke pangkuan JDT.

Jelasnya, jika individu yang dimaksudkan oleh Muhammad Sanusi itu adalah pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, maka kenyataan yang dibuatnya adalah itu adalah sangat tidak wajar.

“Kita boleh untuk berbeza pandangan dan pendapat, namun perlu ada batas juga dan gunalah perkataan yang sesuai setaraf dengan imej beliau selaku Menteri Besar Kedah. Saya pun tidak setuju dengan tindakan JDT yang mengambil pemain Kedah suatu ketika dahulu tanpa datang berbincang dengan kita.

“Tapi dari satu sudut kejayaan dan kemajuan dalam bolasepak memang JDT berada jauh di hadapan selain telah beraksi di pentas Asia Champion League (ACL).

“Dari sudut ini memang JDT patut menjadi contoh dan rujukan kepada pasukan-pasukan lain dalam Liga Malaysia,” ujarnya.

Asmirul Anuar berkata, penyokong Kedah lebih berminat untuk melihat prestasi pasukan kesayangan mereka yang mampu memberikan saingan hebat dalam liga tempatan mahupun antarabangsa, bukannya “kontroversi” demi kontroversi dari Presiden KDA FC itu.

(Visited 829 times, 1 visits today)

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )