Hina MB Kedah: Pemuda Amanah sedia khidmat guaman percuma

Hina MB Kedah: Pemuda Amanah sedia khidmat guaman percuma

Pemuda Amanah Negeri Kedah bersama Biro KANUN (Undang-undang) Amanah Negeri Kedah hari ini mengecam intimidasi melampau keatas beberapa individu yang mengkritik Menteri Besar Kedah.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Mohd Ridzwan Arshad Ahmad, Ketua Pemuda AMANAH Kedah dan Saiful Ambar Abdullah Ambar, Pengerusi Biro KANUN AMANAH Kedah hari ini menyebut, tindakan menahan dan menyiasat individu-individu tersebut adalah suatu bentuk intimidasi untuk membisukan dan menekan suara para pengkritik YAB Menteri Besar Kedah.

Sebagai seorang ahli politik teguran dan kecaman adalah perkara biasa yang perlu ditelan bukannya bertindak mengikut emosi dan kuasa yang diperolehi kerana ia adalah satu tindakan memalukan dan menjadi detik sejarah hitam di negeri Kedah.

Pemuda AMANAH Kedah juga menggesa agar semua bentuk siasatan dan tahanan berkaitan kritikan kepada pemimpin negara untuk segera dihentikan. “Tindakan yang telah dilakukan saat mengambil alih pemerintahan negara dan negeri secara kotor dan khianat membuatkan tiada keberkatan. Ketidakpuasan hati rakyat terhadap urus tadbir dan kenyataaan ‘bodoh’ yang telah dilakukan mengguris hati rakyat khususnya di negeri Kedah.”

Sementara itu, mereka juga menggesa mana-mana individu yang disiasat pihak berkuasa berkaitan perkara itu boleh menghubungi mereka melalui page facebook “Pemuda AMANAH Kedah” bagi membolehkan bantuan guaman itu disalurkan.

“Kami terpanggil dan bersedia untuk membantu mewakili sesiapa yang ditahan ataupun didakwa berkait isu YAB Menteri Besar Kedah dan pimpinan kerajaan PN di mahkamah. Kita simpati pada nasib mereka yang terlibat yang mana jelas menunjukkan kegagalan dan kebobrokan kerajaan PN.”

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )