Hina Nabi Muhammad, pemilik akaun FB 'Uthaya Sankar SB' disiasat polis
Hina Nabi Muhammad, pemilik akaun FB ‘Uthaya Sankar SB’ disiasat polis

Hina Nabi Muhammad, pemilik akaun FB ‘Uthaya Sankar SB’ disiasat polis

Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan dakwaan menghina Nabi Muhammad SAW di laman sosial Facebook miliknya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Sri Muda, Shah Alam pada jam 11.15 pagi Isnin.

“Kita turut merampas satu telefon bimbit jenama iPhone XR beserta kad sim dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran tersebut pada Khamis.

“Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat esok,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Abd Jalil berkata, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Abd Jalil turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

“Orang ramai dinasihatkan agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum,” katanya.

Katanya, orang ramai juga digesa agar menjadi pengguna media sosial yang bjak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” tegasnya.

Terdahulu pada 8 April, dia memuat naik laporan mengenai pelakon Iman Zulkarnain yang serik berpoligami dan berpesan kepada kaum lelaki agar “tidak mencari penyakit“.

Dalam hantaran itu, Uthaya mengaitkan amalan poligami itu dengan Nabi Muhammad.

Uthaya berkata demikian merujuk kepada laporan Malaysiakini pada 6 April lalu yang memetik Iman Zulkarnain akhirnya akur tidak mampu hidup berpoligami.

(Visited 143 times, 1 visits today)

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )