Hukuman penjara 30 tahun pemotong rumput dikekal, sumbang mahram dengan anak saudara

Hukuman penjara 30 tahun pemotong rumput dikekal, sumbang mahram dengan anak saudara

Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 30 tahun terhadap seorang pemotong rumput kerana dua tuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak saudaranya berusia 14 tahun.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Abdul Karim Abdul Jalil bagaimanapun membenarkan rayuannya supaya jumlah sebatan dikurangkan daripada 10 kepada empat.

Karim menyifatkan lelaki terbabit “ganas” dan langsung tidak menunjukkan simpati terhadap mangsa.

“Kamu mengambil kesempatan terhadapnya, bukan melindunginya,” kata Karim yang bersidang bersama Supang Lian dan Che Mohd Ruzima Ghazali.

Lelaki yang tidak boleh dinamakan untuk melindungi kanak-kanak di bawah umur itu melakukan perbuatan berkenaan antara jam 2 petang dan 6 petang pada 2 Mei dan 5 Mei 2019 di rumahnya di Besut, Terengganu.

Dia mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen pada 21 Mei 2019.

Dia kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan bagi tuduhan pertama dan hukuman sama untuk tuduhan kedua.

Hakim perbicaraan memerintahkan hukuman penjara berjalan secara berturut-turut, bermakna dia akan menjalani tempoh selama 30 tahun.

Mahkamah Tinggi turut menolak rayuannya terhadap hukuman itu. Di bawah Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan, seseorang yang disabitkan atas kesalahan sumbang mahram boleh dipenjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan.

Undang-undang turut memperuntukkan bahawa lelaki di bawah usia 50 tahun boleh disebat sehingga 24 kali.

Lelaki itu didakwa melakukan sumbang mahram dengan seseorang yang mempunyai hubungan yang tidak dibenarkan mengikut undang-undang, agama atau adat.

Fakta kes mendedahkan seorang guru mangsa melihatnya berkelakuan pelik dan sebaik disoal, remaja itu menceritakan perkara yang berlaku.

Guru itu membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan lelaki terbabit di rumahnya pada 12 Mei 2019.

Laporan perubatan menunjukkan mangsa diserang secara seksual.

Peguam Izleen Ismail dalam hujahnya berkata, tempoh penjara yang terlalu lama tidak akan membantu pemulihan lelaki itu dan kembali kepada masyarakat.

“Dia akan berusia kira-kira 60 tahun,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Hanim Mohd Rashid berkata, rayuan itu perlu ditolak kerana lelaki terbabit mengambil kesempatan terhadap remaja di bawah jagaan dan perlindungannya.

“Kepentingan orang awam menuntut satu hukuman yang mencegah,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )