ICU HSB TIDAK DITUTUP - DR ISMAIL SALLEH
ICU HSB TIDAK DITUTUP – DR ISMAIL SALLEH

ICU HSB TIDAK DITUTUP – DR ISMAIL SALLEH

ALOR SETAR – Unit Rawatan Rapi (ICU) menempatkan pesakit COVID-19 di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dekat sini, tidak pernah ditutup dengan para petugasnya sentiasa bersiap siaga untuk berdepan sebarang kemungkinan dalam apa jua keadaan selepas ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri, Dato’ Dr. Ismail Salleh berkata, terdapat kekeliruan dalam kalangan sesetengah pihak hingga segelintir mereka menyebarkan cerita tidak tepat kononnya ICU di HSB ditutup semalam.

“Sebenarnya apa yang berlaku adalah, ketika ini tiada lagi pesakit COVID-19 dirawat di ICU HSB kerana kesemua mereka semakin pulih dan telah dipindahkan ke wad biasa.

“Tetapi itu tidak bermakna ICU HSB ditutup kerana semua pihak sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga. Justeru saya harap semua pihak akan lebih berhati-hati dalam menyebarkan berita dan membuat kenyataan selepas ini,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas mengenai situasi terkini di Kedah, beliau menzahirkan rasa syukur kerana statistik dikeluarkan hingga semalam menunjukkan, hanya terdapat satu kes baharu iaitu kes import melibatkan warganegara United Kingdom (UK) di sepanjang tempoh 10 hari kebelakangan ini.

Menurutnya kejayaan mengekang penularan COVID-19 di negeri ini serta seluruh tanah air yang kini telah mula mencatatkan kes baharu di bawah 100 sejak beberapa hari lalu, merupakan hasil kerjasama semua pihak termasuk golongan rakyat yang mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Begitu pun ini bukan masanya untuk semua pihak merasa selesa kerana kita belum menang sepenuhnya. Kalangan rakyat tidak boleh merasa ini masa yang sesuai untuk kita ‘longgarkan’ PKP sebaliknya masing-masing perlu terus berusaha memperkemaskannya supaya rantaian COVID-19 dapat diputuskan sepenuhnya,” katanya.

Tambahnya, sekiranya keadaan baik ini berterusan, beliau menjangkakan tidak mustahil kemungkinan lebih banyak sektor penting akan dibenarkan beroperasi secara berperingkat, mengikut zon.

“Namun sekiranya itu berlaku dan PKP berakhir sekali pun, kita perlu terus mengamalkan segala apa yang dilaksanakan ketika ini termasuk sentiasa menjaga kebersihan serta menjaga penjarakan sosial. Jadikan itu sebagai budaya baharu untuk kita amalkan dalam kehidupan,” katanya.

Sehingga semalam, statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah menunjukkan cuma terdapat sembilan kes aktif yang masih dirawat di negeri ini.

(Visited 26 times, 1 visits today)

COMMENTS