Indonesia keluarkan amaran tsunami
Indonesia keluarkan amaran tsunami

Indonesia keluarkan amaran tsunami

JAKARTA: Gempa bumi kuat berukuran 7.5 pada skala Richter menggegarkan bahagian timur Indonesia pada Selasa (14 Dis), mencetuskan amaran tsunami dan menyebabkan ramai penduduk lari bertempiaran meninggalkan rumah mereka meskipun hanya kerosakan kecil dan seorang individu cedera akibat bencana alam itu, menurut pihak berkuasa.

Amaran tsunami ditarik balik sekitar dua jam selepas gempa tersebut melanda sekitar 10.20 pagi waktu tempatan di Laut Flores, sekitar 112km dari barat laut bandar Larantuka, di bahagian timur Pulau Flores.

“Semua orang melarikan diri ke jalan raya,” menurut Agustinus Florianus, penduduk bandar Maumere di Flores, kepada Reuters.

Maumere sebelum ini rosak binasa akibat gempa bumi yang sama hebatnya pada tahun 1992.

Amaran tsunami dikeluarkan di kawasan Maluku, Nusa Tenggara Timur, Nusa Tenggara Barat dan Sulawesi Tenggara serta Sulawesi Selatan.

Menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat, gempa berukuran 7.5 pada skala Richter itu melanda pada kedalaman 12km.

Gempa tersebut bagaimanapun tidak mencetuskan sebarang kenaikan pada paras air laut.

Sebilangan gempa bumi di Indonesia menyebabkan tsunami yang membawa maut, khususnya pada 2004 di mana gempa berukuran 9.1 pada skala Richter yang melanda bahagian utara Sumatera mencetuskan gelombang besar tsunami yang meragut nyawa lebih 230,000 penduduk di Indonesia, Sri Lanka, India, Thailand dan sembilan negara lain. —BeritaMediaCorp

(Visited 108 times, 2 visits today)

COMMENTS