Isu buka parlimen antara dibincangkan bersama Agong – Mad Sabu

Isu buka parlimen antara dibincangkan bersama Agong – Mad Sabu

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, berkata isu pandemik COVID-19 dan kepentingan memelihara demokrasi berparlimen menjadi fokus perbincangannya ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Mohamad berkata, pada sesi menghadap selama sejam di Istana Negara itu, beliau tidak membangkitkan isu keabsahan kerajaan.

“Saya minta Parlimen kita bersidang sebagaimana Parlimen United Kingdom (UK).

“Ketika pandemik paling teruk, sidang Parlimen lagi kerap diadakan kerana rakyat ingin tahu apa program kerajaan untuk mengatasi COVID-19.

“Keadaan ini berbeza dengan kita sebab Parlimen tutup,” katanya kepada media yang menunggu di Pintu 2, Istana Negara, hari ini.

Mohamad adalah pemimpin politik ke empat dan terakhir yang menghadap baginda hari ini.

Beliau yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV putih keluar melalui Pintu Dua Istana Negara, pada jam 4.05 petang.

Selain Mohamad, turut hadir menghadap Yang di-Pertuan Agong adalah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Mohamad antara tujuh pemimpin politik termasuk pembangkang dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong bermula hari ini hingga Jumaat ini.

Empat pemimpin politik dijadualkan menghadap baginda hari ini, manakala tiga lagi esok dan seorang lagi pada Jumaat ini.

BHarian

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )