Isu Hakim Nazlan: Amanah Kedah buat laporan polis
Isu Hakim Nazlan: Amanah Kedah buat laporan polis

Isu Hakim Nazlan: Amanah Kedah buat laporan polis

Alor Setar – Amanah Negeri Kedah hari ini membuat laporan polis terhadap isu membabitkan hakim Datuk Mohd Nazlan bin Mohd Ghazali yang dituduh menerima suapan berjumlah RM 1 juta oleh portal berita Malaysia Today pada 20 April lalu.

Menurut Timbalan Pengerusi Amanah Negeri Kedah, Dato’ Dr Ismail Salleh, laporan polis ini dibuat bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat dalang sebenar di sebalik isu ini yang dikatakan boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman negara.

“Harapan kita adalah supaya pihak polis dapat bertindak dalam isu ini, sebab jika kita melihat kepada kronologi kes, seolah-olah wujud usaha untuk menampakkan hakim ini telah menerima rasuah dan korup,” ujar beliau dalam sesi siaran langsung menerusi facebook Amanah Negeri Kedah sejurus selesai membuat laporan polis sebentar tadi.

Dr. Ismail yang juga Adun Pengkalan Kundor berkata, sepatutnya siasatan telah dimulakan sebaik hakim tersebut membuat laporan polis menafikan perkara itu, namun sebaliknya yang berlaku adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula yang memulakan siasatan terhadap isu tersebut.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan seperti ada usaha untuk menjatuhkan imej hakim Mohd Nazlan dan menggambarkan institusi kehakiman dalam negara ini tidak mempunyai integriti yang terbaik. Kita juga sedia mengenali, hakim Mohd Nazlan ini yang terlibat dalam mahkamah rayuan, yang telah menjatuhkan hukuman terhadap kes SRC dan Najib Tun Razak.”

Sementara itu, Setiausaha Amanah Kedah yang juga Adun Kubang Rotan, YB. Asmirul Anuar Aris berkata, badan peguam telah menyatakan bahawa siasatan SPRM terhadap hakim itu tidak mengikut perlembagaan kerana badan kehakiman berada dalam bidang kuasa yang berasingan dengan SPRM.

“Institusi kehakiman memiliki badan integritinya sendiri yang menyiasat hakim-hakim ini, bukannya SPRM. Jelas perkara ini adalah satu bentuk intimidasi oleh SPRM terhadap institusi kehakiman negara,” jelas beliau lagi.

Sehingga berita ini ditulis, turut membuat laporan polis secara serentak hari ini adalah Amanah Kawasan Sik, Kubang Pasu, Jerlun dan Jerai.

Amanah Kawasan Sik membuat laporan polis di IPD Sik

 

Amanah Kawasan Kubang Pasu dan Jerlun membuat laporan polis bersama di IPD Kubang Pasu

 

Pemuda Amanah Kedah dan Amanah Kawasan Jerai membuat laporan polis di IPD Yan

(Visited 254 times, 1 visits today)

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )