JAIJ lupuskan 2.7 tan abu al-Quran di perairan Tanjung Piai

JAIJ lupuskan 2.7 tan abu al-Quran di perairan Tanjung Piai

Abu al-Quran seberat 2.7 tan dilupuskan dengan kaedah pelarutan di perairan Tanjung Piai hari ini.

Program pelupusan al-Quran ini adalah anjuran kali pertama Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAIJ) bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor.

Maritim Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, proses pelupusan ini disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi bersama Pengarah Maritim Negeri Johor,  Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria.

Maritim Malaysia mengerakkan aset kapal KM Marudu, KM Sibuan dan bot Pengawal 31 bagi menjayakan program ini.

Menurut kenyataan itu, al-Quran adalah kitab suci umat Islam yang harus dihormati dan perlu dijaga di samping terdapat beberapa cara khusus yang perlu dilakukan sekiranya ingin melupuskan kitab suci ini.

“Antaranya membakar al-Quran tersebut di tempat yang sesuai dan kemudian abunya dihanyutkan ke dalam air sungai atau air laut yang deras arusnya atau abunya ditanam ke dalam tanah. Al-Quran yang sudah rosak pula boleh ditanam ke dalam tanah yang tidak dilalui orang atau binatang buas.

“Dengan mengambil kira cara terbaik bagi melupuskan al-Quran, abu kitab suci tersebut berjaya dilupuskan dengan kaedah pelarutan di laut bagi memastikan kesucian dan kemuliaan al-Quran terpelihara,” kata kenyataan itu.

Turut hadir bersama di dalam program ini adalah Timbalan Pengarah Operasi JAIJ, Anoar Sarimin serta Imam Besar Negeri Johor, Makhadzir Abdan Al-Hafiz. – Utusan

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )