Jangan tambah lagi kluster yang dah ada

Jangan tambah lagi kluster yang dah ada

Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi seperti biasa. Ia membolehkan golongan pekerja mula bekerja seperti biasa dengan hadir secara fizikal ke lokasi kerja sama ada secara sepenuh masa ataupun secara bergilir mengikut ketetapan majikan masing-masing.

Ironinya, apabila pekerja hadir secara fizikal ke lokasi bekerja terutama dalam persekitaran pejabat, risiko penularan dan jangkitan wabak Covid-9 mula meningkat. Buktinya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati terdapat peningkatan kes positif Covid-19 bagi kluster berkaitan tempat kerja. Misalnya, dalam satu laporan baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan, daripada 158 kluster aktif, 65 kluster atau 41.1 peratus berkaitan tempat kerja.

Dalam hal ini, dilaporkan hampir 60 peratus daripada 5,681 kes positif Covid-19 yang berkaitan kluster tempat kerja membabitkan warganegara Malaysia manakala baki 2,312 adalah bukan warganegara. Ini jelas menunjukkan tempat kerja berpotensi besar untuk menjadi pusat penularan pandemik ini jika tidak dikawal sepenuhnya.

Perlu diingat kita masih di medan perang apabila trend turun naik kes dan bilangan kes kematian semakin membimbangkan. Oleh itu, tidak boleh ada sebarang ruang lagi yang boleh mencetuskan kluster baharu sehingga boleh mengganggu proses kawalan penularan wabak yang sedang giat dilaksanakan pihak berkuasa.

Dalam konteks ini, kita boleh memahami situasi pekerja dan majikan yang mahu semua berada di pejabat secara fizikal. Kalangan pekerja sedang bersemangat untuk masuk ke pejabat dan meneruskan kerja yang tertangguh setelah lama berada di bawah PKP sebelum ini di samping mahu menjamin kedudukan kerja masing-masing kerana khuatir majikan akan mengambil langkah drastik memberhentikan pekerja untuk mengurangkan kos operasi dan kerugian perniagaan.

Majikan pula sememangnya mahu pekerja masuk ke pejabat untuk membantu memulihkan semula aktiviti perniagaan yang terjejas teruk sejak wabak ini menyerang negara kita. Bagi membantu hasrat majikan dan pekerja ini, pihak berkuasa mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang lengkap dalam soal bekerja di pejabat kerana sedar tempat kerja boleh menjadi pusat penularan wabak yang sangat signifikan. Hal ini kerana risiko penularan wabak di tempat kerja boleh berlaku dengan mudah disebabkan beberapa faktor antaranya, ruang pejabat yang sempit, keadaan sesak dengan bilangan pekerja ramai, kurang pengudaraan, kelemahan dan kecuaian dalam pematuhan SOP oleh majikan serta pekerja. Oleh itu, majikan dan pekerja perlu memikul tanggungjawab untuk memastikan tiada lagi kluster baharu di tempat kerja. Dalam hal ini sudah tentu majikan perlu memainkan peranan yang lebih besar. Paling penting, majikan perlu menyediakan peluang dan kemudahan untuk pekerja bekerja dari rumah serta hadir ke pejabat secara bergilir.

Pastikan juga bilangan yang hadir itu sesuai dengan mengambil kira keluasan tempat kerja supaya tidak berlaku elemen kesesakan. Ingat, jangan sesekali memaksa semua pekerja hadir secara fizikal ke pejabat. Majikan juga perlu memenuhi keperluan dan mematuhi semua SOP yang ditetapkan ketika menguruskan pekerja yang hadir ke pejabat. Contohnya, pastikan ada kaunter saringan sebelum pekerja masuk ke pejabat, sediakan pensanitasi tangan dan pelitup muka serta pastikan pekerja sentiasa mematuhi SOP berkenaan. Di samping itu jika ada pekerja yang bergejala atau kontak rapat dengan mana-mana kes, mereka perlu diasingkan dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa.

Majikan juga perlu menyediakan kemudahan dan peralatan perlindungan sewajarnya kepada semua pekerja yang banyak berurusan secara bersemuka dengan pelanggan kerana pendedahan sebegini boleh meningkatkan risiko jangkitan virus. Ringkasnya, majikan bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyediakan persekitaran tempat kerja yang selamat kepada pekerja. Ini tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua majikan demi memastikan tiada lagi kluster baharu di tempat kerja. Pada masa yang sama pekerja juga perlu memikul tanggungjawab dan berpegang teguh kepada slogan #KitaJagaKita.

Perlu diingat majikan boleh menyediakan pelbagai garis panduan dan kemudahan yang diperlukan, namun pada akhirnya semuanya terserah kepada individu pekerja itu sendiri iaitu sejauh mana mampu mematuhi SOP yang ditetapkan.

Ironinya, pekerja bukan saja bertanggungjawab kepada majikan, tetapi juga kepada diri dan keluarga dengan memastikan menutup segala ruang yang boleh meningkatkan risiko jangkitan melalui kluster baharu.

Antara langkah wajib pekerja ialah memakai pelitup muka, menggunakan pensanitasi tangan, elak berhimpun dengan rakan sekerja baik ketika bekerja atau waktu rehat dan makan. Di samping itu perlu amalkan etika batuk dan bersin yang betul serta amalkan penjarakan fizikal dalam semua urusan.

Tuntasnya, cukuplah kluster baharu yang ada, marilah kita membantu pihak berkuasa memutuskan rantaian penularan wabak di tempat kerja. Sedarlah, kerjasama erat antara majikan dan pekerja boleh membantu mewujudkan persekitaran kerja yang selamat serta selesa kepada semua pihak.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

 

Berita penuh : HMetro

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )