JDT sambar Sharul Saad, De Paula pada jendela perpindahan kedua

JDT sambar Sharul Saad, De Paula pada jendela perpindahan kedua

Teka teki hala tuju dua tonggak utama Perak FC iaitu Shahrul Saad dan Guilherme de Paula akhirnya terjawab apabila kedua-duanya sah menyertai kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini.

Menerusi pengumuman rasmi yang dimuat naik di laman sosial rasmi JDT itu, dua pemain itu diperkenalkan dalam satu majlis ringkas di Johor yang turut disertai pengendali Harimau Selatan, Benjamin Mora dan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards.

“Selamat datang ke pasukan juara,” tulis laman sosial JDT itu sebagai tanda penghargaan buat kedua-dua tonggak itu.

Dalam majlis sama, De Paula yang juga pemain naturalisasi negara bakal menyarung jersi bernombor 31 manakala bekas ketua Perak FC, Shahrul menggunakan nombor 32.

Penghijrahan De Paula dan Shahrul ini turut melengkapkan pasukan JDT yang dilihat umpama jelmaan skuad Harimau Malaya apabila sebahagian besar tonggak utama kebangsaan beraksi untuk juara tujuh kali berturut-turut Liga Super itu.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Rizal Ali Naizali mengesahkan Shahrul dan De Paula sudah meminta pelepasan untuk meninggalkan kelab itu.

Perkembangan itu itu sekali gus mengesahkan khabar angin yang bertiup kencang mengenai perpindahan Shahrul dan sikap sambil lewa yang ditunjukkan De Paula dalam beberapa perlawanan sebelum ini dipercayai tidak lagi gembira bersama Bos Gaurus.

Sebelum ini, kem Perak FC bergolak ekoran isu tunggakan gaji yang menghantui pasukan itu sejak awal musim ini.

Malah difahamkan, tindakan dua pemain terbabit meninggalkan skuad The Bos Gaurus pada jendela perpindahan kedua ini adalah disebabkan faktor tunggakan gaji.-HM

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )