Jenayah seksual meningkat antara kesan dari aplikasi video lucah, seksi

Jenayah seksual meningkat antara kesan dari aplikasi video lucah, seksi

Kewujudan aplikasi video memaparkan aksi terlalu seksi dan merangsang nafsu di media sosial merupakan satu daripada punca utama peningkatan jenayah seksual di negara ini.

Pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim berkata, terdapat banyak elemen lucah dalam media sosial digunakan pihak tertentu dalam meraih jumlah pengikut yang ramai pada ketika ini.

“Bukan sahaja orang dewasa, malah kanak-kanak boleh mengakses perkara di luar batasan seperti menonton video atau perbuatan lucah sehingga boleh merosakkan minda mereka.

“Saya juga percaya perkara itu terjadi berikutan perasaan ingin tahu, selain terpengaruh dengan bahan rangsangan seksual yang tidak terkawal dalam masa yang berpanjangan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau mengulas mengenai peningkatan kes jenayah seksual yang dikatakan semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

Shahul Hamid berkata, kurangnya didikan agama juga boleh menyebabkan kes jenayah seksual berlaku.

Katanya, asas didikan agama dan moral itu sebenarnya sangat penting kerana jika ia tidak dibentuk dari awal, maka berlakulah jenayah seksual berkenaan.

“Kebanyakan kes banyak melibatkan kanak-kanak di bawah umur yang mana mereka selalu menjadi mangsa bagi pelaku yang tidak mempunyai nilai moral dalam diri.

“Justeru, pendidikan agama dan juga moral daripada ibu bapa sendiri perlulah ditingkatkan agar anak-anak tidak tergolong daripada pesalah laku kes jenayah seksual itu,” katanya.

Beliau berkata, hukuman lebih tegas ke atas pesalah laku perlu dilakukan agar mereka tidak lagi berani mengulangi jenayah itu.

“Saya lihat hukuman untuk kes berkenaan sudah cukup, cuma tindakan lebih tegas lagi perlu dilakukan seperti memanjangkan tempoh penjara ataupun kadar bayaran yang lebih mahal.

“Ia boleh mengurangkan kes daripada terus berleluasa,” katanya.

Jelasnya, mangsa juga perlu tampil berjumpa dengan pihak berkuasa dan memberi segala butiran dengan kadar segera.

“Jika disorok atau disimpan, itu yang menyebabkan lebih banyak lagi kes jenayah seksual berlaku.

“Apa yang lebih teruk lagi apabila ada segelintir ibu bapa tidak berani membuat laporan mengenai anaknya kerana bimbang maruah tercemar.

“Jadi, saya rasa ibu bapa perlu tampil memberi kerjasama agar isu ini dapat diatasi,” katanya.

 

Artikel Penuh : SinarHarian

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )