Jitra : Wanita tempatan ditahan bersama tiga warga Bangladesh
Jitra : Wanita tempatan ditahan bersama tiga warga Bangladesh

Jitra : Wanita tempatan ditahan bersama tiga warga Bangladesh

 

Seorang wanita tempatan dan tiga lelaki warga Bangladesh yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Napoh, Changlun dekat Jitra, semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Ismail Ibrahim berkata polis sebelum itu menahan kenderaan jenis Toyota Vios yang dipandu wanita berumur 33 tahun itu.

Katanya tiga lelaki berkenaan – yang berusia antara 30 hingga 36 tahun – berada di tempat duduk penumpang. Kenderaan berkenaan ditahan kira-kira jam 5.10 petang.

“Siasatan awal mendapati wanita itu ialah pemandu teksi persendirian atau prebet sapu.

“Ketika ditahan mereka dipercayai dalam perjalanan dari Sentul, Kuala Lumpur menuju ke Keteri, Perlis.

“Wanita tersebut sebelum itu dihubungi oleh seorang lelaki Bangladesh yang dikenalinya dan memintanya menghantar tiga lelaki berkenaan ke lokasi itu dengan bayaran RM450 seorang,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar hari ini.

Mohd Ismail berkata, wanita tersebut yang dikatakan belum menerima bayaran itu bertolak dari Sentul bersama tiga lelaki berkenaan pada pukul 10 pagi semalam.

Katanya, siasatan lanjut mendapati tiga lelaki terbabit memiliki kad permit kerja disyaki palsu dan berada di negara ini hampir tiga tahun.

Mereka, kata Mohd Ismail pernah bekerja sebagai buruh binaan dan di kilang perabot di sekitar Kuala Lumpur.

“Tujuan mereka ke Perlis adalah untuk mencari pekerjaan baharu,” katanya.

Menurut Mohd Ismail, wanita terbabit yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau direman 28 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 26A, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Tiga pendatang asing itu pula ditahan reman selama 14 hari dan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

– Bernama

(Visited 29 times, 1 visits today)

COMMENTS