JPJ buru kenderaan berat dengan hon ‘tenonet’

JPJ buru kenderaan berat dengan hon ‘tenonet’

JPJ Negeri Selangor telah menjalankan Operasi Penguatkuasaan Hon Melebihi Satu Nada @ Berirama di sekitar Negeri Selangor. Operasi ini dijalankan berdasarkan aduan awam yang diterima mengenai pemasangan hon berirama melebihi satu nada atau dikenali sebagai “hon tenonet” yang semakin trending digunakan oleh kenderaan terutama jenis lori dan bas buat masa kini.

Hon merupakan salah satu instrumen penting pada sesebuah kenderaan yang berfungsi untuk memberi amaran, peringatan atau isyarat kepada pengguna jalanraya lain melalui sistem bunyi. Namun begitu, penggunaan hon yang melebihi satu nada atau nada berirama ini boleh mengelirukan pengguna jalanraya lain tentang isyarat yang ingin disampaikan serta boleh menggangu ketenteraman awam sekiranya dibunyikan di kawasan perumahan.

Penguatkuasaan terhadap kenderaan yang memasang “hon tenonet” secara aksesori (retrofit) telah diambil tindakan saman di bawah Kaedah 24(i) Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Kegunaan) 1959 iaitu ‘memasang hon melebihi satu nada’. Kesalahan ini boleh didenda maksimum RM2,000.00 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi 6 bulan di bawah Seksyen 119(1) APJ 1987.

Selain itu, kenderaan memasang “hon tenonet” ini juga telah diambil tindakan dengan pengeluaran Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1). Pemilik kenderaan perlu hadir pemeriksaan di mana-mana Pejabat JPJ berdekatan bagi memastikan kenderaan tersebut telah dibuat tindakan pembetulan dengan membuang semula hon tenonet yang dipasang dan Notis Penarikan Semula Larangan Penggunaan Kenderaan (PG2) akan dikeluarkan selepas pemeriksaan kenderaan dibuat.

Kompaun juga perlu dijelaskan atau kes dibawa ke mahkamah bagi tindakan lanjut. Penguatkuasaan secara berterusan akan dilakukan bagi memastikan pemandu mematuhi peraturan dan undang- jalanraya yang telah ditetapkan.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )