JPJ Kedah kutip hasil bidaan lebih RM2.2 juta untuk siri nombor “KEY”

JPJ Kedah kutip hasil bidaan lebih RM2.2 juta untuk siri nombor “KEY”

ALOR SETAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah mengutip hasil bidaan lebih RM2.2 juta bagi nombor pendaftaran KEY, menjadikannya sebagai kutipan tertinggi dalam Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) negeri.

Pengarah JPJ negeri, Ismasuhaimi Sharif, berkata nilai tertinggi bagi siri nombor itu adalah bagi pendaftaran KEY 5 dengan bidaan sebanyak RM88,000.

“JPJ Kedah membuka siri pendaftaran ini bermula 9 hingga 13 Oktober lalu, dan menerima 2,765 bidaan nombor berkenaan dengan kutipan RM2.209 juta.

“Sejak pelaksanaan sistem bidaan JPJebid pada 11 Julai tahun lalu, siri pendaftaran KEY adalah paling tertinggi kerana mungkin ia sinonim dengan nama individu,” katanya pada sidang media di Pejabat JPJ Kedah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismasuhaimi berkata, bagi bidaan nombor pendaftaran KEY 1, ia tidak dibuka kepada orang ramai berikutan dikhaskan untuk Pejabat Sultan Kedah.

Katanya, kutipan tertinggi bidaan nombor pendaftaran JPJ Kedah sebelum ini adalah membabitkan siri KEX yang keseluruhannya berjumlah RM1.3 juta dan KEX 1 dibida setinggi RM125,000.

“Selain itu, siri pendaftaran KEW turut mencatatkan jumlah bidaan sebanyak RM980,862 dengan bidaan tertinggi KEW 1 sebanyak RM120,000.

“Orang ramai yang berminat mendapatkan nombor menarik bagi siri KEY masih boleh ke portal JPJebid yang dijamin telus dan tiada unsur campur tangan manusia,” katanya.

Sementara itu, JPJ Kedah akan mengadakan tawaran sebut harga 62 kenderaan lucut hak bermula 18 Oktober hingga 25 Oktober ini.

Katanya, sebanyak 55 kenderaan terbabit boleh dilihat pada 20 dan 21 Oktober di Kandang Sita JPJ Alor Setar, Kandang Sita Stesen Penguatvkuasa Kuala Ketil dan Kandang Sita JPJ Kulim.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )