June Wei lupakan sambutan CNY, sertai kem Axelsen di Dubai
June Wei lupakan sambutan CNY, sertai kem Axelsen di Dubai

June Wei lupakan sambutan CNY, sertai kem Axelsen di Dubai

Kuala Lumpur: Pemain badminton profesional Cheam June Wei menjadi ahli terbaharu ‘Kelab Viktor Axelsen’ yang menjalani latihan intensif bersama di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Dalam satu hantaran di laman Instagram, pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari Denmark itu mengalu-alukan kehadiran June Wei, yang keluar dari Persatuan Badminton Malaysia pada pertengahan November lalu susulan prestasi buruk pada kejohanan di Eropah.

“Latihan yang bagus, masa yang bermanfaat. Terima kasih semua… dan selamat datang Cheam June Wei @cheamjunewei,” tulis Axelsen ringkas dibalas June Wei di ruangan komen “terima kasih kawan.”

Difahamkan, June Wei, 25, terpaksa melupakan sambutan Tahun Baharu Cina bersama keluarganya di Pulau Pinang esok demi mencapai impiannya melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Dia dijadualkan berlatih bersama pemain nombor satu dunia Axelsen dan rakannya di Kompleks Sukan Nad Al Sheba (NAS), Dubai selama kira-kira dua minggu hingga pertengahan Februari ini.

Pemain lain turut berlatih di Dubai termasuk penyandang juara dunia Loh Kean Yew dari Singapura, Mark Caljouw dari Belanda yang layak ke separuh akhir Seluruh England 2021, Nhat Nguyen (Ireland), Kalle Koljonen (Finland) dan Joran Kweekel (Belanda) di bawah pengawasan jurulatih peribadi Axelsen, Henrik Rohde.

June Wei, yang kini menghuni ranking ke-71 dunia, terkandas pada suku akhir kejohanan Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, pusingan ketiga Terbuka Odisha di Cuttack dan pusingan pertama Terbuka India di New Delhi, tiga kejohanan pertamanya tahun ini semuanya di India.

Difahamkan, semasa di New Delhi dia bertemu Kean Yew yang mengajaknya berlatih di Dubai bersama kem Axelsen.

Dari segi kewangan, June Wei mungkin tidak berdepan masalah kerana dia mendapat tajaan sebanyak RM400,000 setahun daripada syarikat pemaju dan pelaburan hartanah, BT Bina Group Sdn Bhd sehingga 2024 selain menjadi duta syarikat peralatan sukan Apacs Sports. —Metro

(Visited 18 times, 1 visits today)

COMMENTS