Jurujual parah ditikam warga emas mabuk
Jurujual parah ditikam warga emas mabuk

Jurujual parah ditikam warga emas mabuk

ALOR SETAR: Seorang jurujual cedera parah dipercayai akibat ditikam seorang warga emas setelah kedua-dua mereka bertengkar di sebuah restoran di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah restoran di Jalan Simpang Empat, Alor Setar dengan kedua-duanya dikatakan minum bersama kira-kira pukul 9 malam.

“Menurut saksi, mangsa yang berusia 38 tahun kemudiannya dilihat bertengkar dengan suspek yang merupakan seorang mekanik berusia 60-an.

“Ketika itu kedua-dua mereka disyaki berada dalam keadaan mabuk. Tidak lama kemudian, suspek kemudiannya disyaki menikam mangsa menggunakan gunting,” katanya.

Susulan kejadian itu katanya, mangsa mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di sini kira-kira pukul 9 malam.

“Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan parah dengan kesan tikaman di beberapa bahagian badan serta mengalami pendarahan di paru-paru kanan.

“Kemudiannya, mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menjalani rawatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, pihaknya yang melakukan siasatan berjaya menahan suspek dan merampas gunting dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

(Visited 17 times, 1 visits today)

COMMENTS