Kadar vaksinasi rendah: Ini cadangan Pakatan Harapan  Kedah

Kadar vaksinasi rendah: Ini cadangan Pakatan Harapan Kedah

Majlis Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Kedah hari ini tampil memberikan beberapa cadangan bagi mempertingkatkan kadar vaksinasi di negeri ini. Ini selepas Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan rasa dukacita dengan kes harian COVID-19 di negeri itu yang masih kekal menunjukkan jumlah empat angka sejak sebulan lalu. Baginda juga menggesa supaya kerajaan memperluaskan vaksinasi kepada populasi yang layak di negeri itu.

Antara cadangan yang diutarakan ialah meningkatkan kapasiti vaksinasi di semua tempat iaitu di klinik kesihatan dan hospital kerajaan, hospital dan klinik swasta dan di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta memastikan bekalan vaksin untuk Negeri Kedah sentiasa mencukupi.

Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) juga perlu diperkasakan untuk memastikan semua pekerja industri di vaksinasi dengan segera kerana kadar jangkitan di sektor itu menyumbang kepada peningkatan ketara kes baharu di negeri itu.

Selain itu, gabungan politik yang pernah menerajui kerajaan negeri Kedah itu juga mencadangkan supaya vaksinasi secara walk in dan pasukan vaksinasi bergerak diperluaskan untuk menangani warga tua dan warga golongan kurang upaya terutama di luar bandar.

Menyedari hakikat bahawa kawasan yang dikenakan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) perlu diberi perhatian, saringan kes hendaklah diperluaskan di kawasan tersebut serta memastikan vaksinasi mencapai imuniti kelompok di semua kawasan PKPD selain kempen perlu dipergiatkan untuk menangani golongan antivaksin yang dilihat sedikit sebanyak merencatkan usaha ini.

Negeri Kedah menduduki kelompok terbawah dari segi jumlah penerima suntikan vaksin walaupun kadar insiden kes iaitu purata kes tujuh hari bagi setiap 100,000 penduduk ialah 75.27 jauh melebihi purata, iaitu 59.57 juga berada di posisi ketiga di belakang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor.

Sehingga 16 Ogos 2021 hanya sebanyak 55% (purata 73.7%) penduduk dewasa telah menerima dos yang pertama, manakala 31.8 % (purata 47.2%) telah menerima suntikan dos kedua. Ianya jauh ketinggalan dari purata negara.

Kenyataan akhbar itu dikeluarkan bersama oleh Dato Johari Abdul, Pengerusi Pakatan Harapan Kedah yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Kedah, Dato Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi, Pengerusi Amanah Negeri Kedah serta Tan Kok Yew, Pengerusi DAP Negeri Kedah.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )