Kakitangan penjara Alor Setar terima sumbangan RM200 dari pejabat MB Kedah
Kakitangan penjara Alor Setar terima sumbangan RM200 dari pejabat MB Kedah

Kakitangan penjara Alor Setar terima sumbangan RM200 dari pejabat MB Kedah

ALOR SETAR, 7 Okt — Bantuan kewangan sebanyak RM200 akan disalurkan kepada 84 kakitangan kuarters Penjara Alor Setar yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 selepas kemunculan Kluster Tembok, di pusat tahanan itu baru-baru ini.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata sumbangan daripada Pejabat Menteri Besar itu akan dilakukan segera kepada kakitangan terbabit yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB).

“Kita juga akan menyalurkan bantuan tambahan kepada petugas barisan hadapan yang menjaga kawasan PKPDB di kawasan Penjara Alor Setar,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Katanya, sumbangan berupa barangan penjagaan diri seperti pelitup muka, cecair pembasmi kuman serta makanan tambahan itu akan diagihkan kepada semua polis dan petugas kesihatan dalam kawasan PKPDB berkenaan.

Kerajaan negeri juga memutuskan untuk melaksanakan PKPDB selama 14 hari di kawasan Penjara Alor Setar, termasuk kuarters kakitangan penjara berkuat kuasa 6 Okt lepas, susulan kemunculan Kluster Tembok.

Mengenai banduan yang positif COVID-19, Muhammad Sanusi berkata terdapat dalam kalangan mereka yang dipindahkan ke hospital walaupun jabatan penjara ada menyediakan pusat rawatannya sendiri.

“Tapi banduan ini sudah ditapis, ada yang terlibat dengan kesalahan dadah dan baki hukuman tinggal tiga bulan sahaja, jadi mereka dibenarkan dirawat di hospital,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menafikan dakwaan yang tular di laman sosial mengenai seorang Exco kerajaan negeri yang positif COVID-19 dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Jelas beliau, Exco berkenaan kini dalam keadaan stabil dan masih dirawat di wad biasa, manakala dua lagi Exco kerajaan negeri sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah.

— BERNAMA

(Visited 11 times, 1 visits today)

COMMENTS