Kami Anak Kedah lancar kempen pelitup muka
Kami Anak Kedah lancar kempen pelitup muka

Kami Anak Kedah lancar kempen pelitup muka

NGO Kami Anak Kedah hari ini melancarkan kempen secara maya, program sumbangan pelitup muka, “1 Kotak untuk 1 Keluarga” (1 Box For 1 Family) bagi membuka peluang kepada orang ramai untuk menyumbang.

Menurut pengarah projek, Ahmad Firdaus Ahmad Shater, program ini bertujuan untuk mengedarkan pelitup muka pakai buang kepada orang ramai, terutama anak-anak Kedah yang kurang berkemampuan, disamping membuka peluang kepada semua pihak untuk menyumbang.

Ahmad Firdaus Ahmad Shater – Pengarah Projek

“Hari ini kita dapat lihat kes baru positif Covid19 di Kedah masih lagi ada walaupun tidak setinggi di negeri lain. Jadi, kita di pihak NGO Kami Anak Kedah mengambil inisiatif untuk mengedarkan pelitup muka bagi menggalakkan rakyat terutama anak-anak Kedah untuk mematuhi SOP dan norma baru dengan memakai pelitup muka di tempat awam.”

“Kita juga sedia maklum bahawa masih ada mereka yang kurang berkemampuan untuk membeli pelitup muka seperti kisah yang tular baru-baru ini, satu keluarga yang mengitar semula pelitup muka pakai buang kerana kesempitan hidup. Jadi, program ini adalah satu usaha kami untuk membuka peluang kepada rakyat, menyumbang kembali kepada rakyat juga terutama di negeri Kedah bagi memastikan SOP itu (pemakaian pelitup muka) dipatuhi,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, Pengerusi Kami Anak Kedah, Mohamad Fuad bin Md Nawawi berkata, program agihan pelitup muka itu akan dimulakan Januari ini. “Sekarang ini adalah fasa kita mengumpul dana bagi membiayai projek ini dengan sasaran permulaan sebanyak 10,000 kotak untuk diagihkan kepada mereka yang terpilih dan kurang berkemampuan”

Mohamad Fuad Md Nawawi – Pengerusi Kami Anak Kedah

Mereka yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Muamalat, nombor akaun: 0201-0005820-71-2 (Kami Anak Kedah) dengan minima sumbangan RM5.00 iaitu harga bagi sekotak pelitup muka. Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan Ahmad Firdaus di talian 019-5905099.

(Visited 78 times, 1 visits today)

COMMENTS