Kartunis, Zunar bakal didakwa sindir MB Kedah kerana isu cuti Thaipusam

Kartunis, Zunar bakal didakwa sindir MB Kedah kerana isu cuti Thaipusam

Kartunis, Zunar, bersedia untuk kemungkinan didakwa kerana kartun yang menyindir Menteri Besar Kedah berhubung pembatalan cuti Thaipusam negeri itu, malah menyifatkan kerajaan telah memulakan “intimidasi” pengkritiknya.

Katanya, dia disoal selama dua jam di Balai Polis Padang Terap di Kedah berhubung kartun berkenaan, dan memberi amaran itu mungkin bukan satu-satunya siasatan pihak berkuasa.

“Ini mungkin langkah permulaan untuk mendiamkan pengkritik. Saya rasa ini permulaan baharu melakukan intimidasi di bawah kerajaan sekarang,” katanya dalam forum “Cartoonist: Enemy of the State”.

Menurutnya, masalah dengan Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia adalah apabila ditafsirkan mengikut kehendak kerajaan.

“Kerajaan dari dulu mempunyai hak untuk memutuskan sama ada sesuatu itu adalah hasutan atau berita palsu, atau sebaliknya.

“Tiada definisi jelas mengenai apakah sebenarnya hasutan atau berita palsu,” katanya.

Berhubung siasatan terkini terhadapnya, Zunar, atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Alhaque berkata, polis berkemungkinan besar mendakwanya berhubung kartun yang diterbitkannya pada Januari.

Zunar disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan yang mendatangkan khianat awam, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian.

Kartunis itu yang mempunyai pengikut tinggi di Malaysia berkata, ini adalah kali ke-10 dia disoal polis bawah enam undang-undang, berkaitan karyanya.

“Mereka bertanya kira-kira 20 soalan. Ada yang saya jawab, namun ada yang saya telah menyimpan hak untuk menjawabnya di mahkamah kelak.”

Bercakap kepada FMT selepas disoal polis semalam, Zunar berkata, dia disiasat selepas tiga laporan polis dibuat terhadapnya berhubung kartun berkenaan, di Alor Setar, Pendang dan Padang Terap.

Pada 25 Jan, Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor, Nurul Amin Hamid membuat laporan polis terhadap Zunar kerana kartun yang didakwa berunsur fitnah berhubung tindakan kerajaan negeri membatalkan cuti Thaipusam tahun ini.

Awal tahun ini, Sanusi mengumumkan tiada cuti umum Thaipusam di Kedah tahun ini, yang mencetuskan kemarahan pemimpin politik India selain kumpulan hak asasi yang menyifatkannya tindakan jahil yang mampu menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.-FMT

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )