KDA FC waspada serangan berbahaya Sri Pahang

KDA FC waspada serangan berbahaya Sri Pahang

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menganggap pasukan Sri Pahang FC yang bakal ditentang pada aksi Liga Super ke-6 esok sebagai pasukan yang ‘bahaya’ jika diambil mudah di saat Kedah mahu meneruskan momentum kemenangan selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut sebelum ini.

Ketua Jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata pihaknya akan lebih berwaspada dengan taktikal dan kemampuan yang akan ditunjukkan skuad Tok Gajah bimbingan Dollah Salleh yang dijangka mampu melakukan kejutan di Stadium Darul Aman.

“Lawan antara salah satu pasukan yang ‘bahaya’ dan mampu membuat kejutan jika kita leka.

“Ini kerana bola sepak adalah mengenai hal dalam tempoh 90 minit dan walaupun kita beraksi di laman sendiri, keadaan akan menjadi 0-0 bila bermula dan jika kita mendapat keputusan baik selepas tamat perlawanan itu nanti, barulah kita boleh merasa lega.

“Perkara penting bagi kita adalah bagaimana kita membuat persediaan terbaik untuk menghadapi pasukan lawan yang memiliki pemain hebat dan semestinya kita perlu menghadapi mereka dengan taktikal terbaik,” katanya.

Aidil juga berkata persaingan antara pemain untuk dipilih ke barisan kesebelasan utama berlangsung dengan ‘sihat’ dengan mengambil contoh persaingan sengit untuk pemilihan penjaga gol utama yang kini digalas oleh Shahril Saari yang menggantikan Ifwat Akmal yang juga kini sudah pulih dari kecederaan.

“Bagi saya tiada kesebelasan utama yang tetap setakat ini, siapa yang beraksi dengan baik sebelum ini, kita (jurulatih) akan berbincang sesama sendiri dan akan membuat penilaian bagi memastikan siapa dikalangan pemain yang terbaik yang harus dipilih untuk perlawanan seterusnya.

“Inilah bola sepak, kerana pemain harus sentiasa bersaing antara satu sama lain dengan pemain gantian dan ini juga satu persaingan sihat untuk rebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Ketika jadual ketat terpaksa ditempuhi pasukan, pemain harus lebih fokus dalam menghadapi tempoh ini dan bersedia sepenuhnya apabila nama mereka dipanggil untuk beraksi bagi memastikan pasukan benar-benar bersedia menghadapi saingan makin sengit selepas ini”. katanya.

Dalam masa yang sama, Aidil juga masih menunggu ‘lampu hijau’ dari doktor pasukan untuk menentukan pemain import Renan Alves yang mengalami kecederaan sebelum ini dapat kembali bersama pasukan.-HM

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )