Kedah akan bubar DUN bila tempoh penggal tamat
Kedah akan bubar DUN bila tempoh penggal tamat

Kedah akan bubar DUN bila tempoh penggal tamat

Kedah tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan DUN Kedah tidak akan dibubarkan sehingga tamat tempoh penggal.

“Kedah tidak akan membubarkan DUN sama seperti negeri Kelantan dan Terengganu.

“Saya yakin ada negeri-negeri akan membuat pengumuman yang serupa,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Muhammad Sanusi menyifatkan pendirian negeri terbabit tidak akan membubarkan DUN sehingga tamat tempoh penggal merupakan tindakan sangat relevan.

“Sangat relevan kerana kita ada masa buat kerja dan tidak kelam kabut dengan pilihan raya. Jadi,kita tidak payah serabut,” katanya.

Beliau menegaskan pembubaran DUN hanya perlu dilakukan apabila tamat tempohnya.

Ketika diminta mengulas adakah satu pembaziran sekiranya PRU diadakan awal namun DUN tidak dibubar, beliau berpandangan PRU juga tidak perlu adakan awal.

“Tunggulah habis tahun, bolehkan. Bukan jadi masalah pun.Yang nak jadi awal tu yang jadi masalah tu, pasal apa nak kelam kabut,” katanya.

Beliau turut menafikan pendirian Kedah tidak akan membubarkan DUN sekiranya PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat adalah disebabkan takut pada kekalahan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan enam negeri berkemungkinan memilih untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu ada dibincangkan bersama lima buah negeri lain ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja di ibu negara baru-baru ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut menyatakan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan dibubarkan sehingga tamat tempohnya.

(Visited 22 times, 1 visits today)

COMMENTS