KEDAH CATAT NILAI PELABURAN FDI DAN DDI RM14.7 BILION- MUKHRIZ MAHATHIR.
KEDAH CATAT NILAI PELABURAN FDI DAN DDI RM14.7 BILION- MUKHRIZ MAHATHIR.

KEDAH CATAT NILAI PELABURAN FDI DAN DDI RM14.7 BILION- MUKHRIZ MAHATHIR.

ALOR SETAR – Kedah mencatatkan jumlah RM14.7 billion nilai pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) pada tahun 2019 dalam pelbagai sektor ekonomi.

Angka itu meletakkan negeri ini berada di tempat kelima secara keseluruhan di belakang Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir berkata, angka itu membuktikan betapa Kedah masih terus menjadi pilihan pelabur dalam keadaan dunia bergelut dengan pertumbuhan ekonomi yang lembab.

“Sebanyak RM11.5 bilion daripada jumlah itu merupakan FDI dan DDI dalam sektor pembuatan (Manufacturing).

“Kita mencatatkan jumlah yang sama dengan Johor di mana kedua-dua negeri ini berada di kedudukan ketiga di belakang Selangor (RM17 bilion) dan Pulau Pinang (RM16.9 bilion) dalam sektor tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) negeri di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Laporan tersebut dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) semalam.

Tambahnya, FDI Kedah diterima dari Amerika Syarikat, China, Jerman, Hong Kong, dan Taiwan melibatkan aktiviti perkilangan produk elektrik dan elektronik (E&E), kertas serta aeroangkasa.

“Pelaburan ini diunjur menawarkan 4,800 peluang pekerjaan. Dalam tempoh ke depan ini fokus kita bukanlah kepada sebanyak mana pelabur yang hadir ke negeri ini sebaliknya tumpuan diberi kepada aktiviti pelaburan berimpak tinggi yang dapa memulih dan menyegarkan ekonomi negeri,” katanya.

Diminta mengulas cabaran semasa bagi menarik pelaburan ke Kedah terutamanya berikutan ancaman COVID-19, Mukhriz menjelaskan, Kedah dilihat bersedia mendepani semua itu ketika tempoh pelaksanaan untuk projek-projek ikonik seperti pembinaan taman industri, Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan Hab Logistik, Aeroangkasa dan Pembuatan (SLAM) sedang berjalan.

“Kita bernasib baik kerana perancangan ini telah dibuat sejak beberapa tahun lepas dan projek-projek ikonik ini berada dalam tempoh pelaksanaan.

“Saya fikir Kedah berada di kedudukan agak baik ketika ini. Bayangkan dalam keadaan ekonomi dunia makin pulih nanti, semua taman industri kita bersedia menerima kemasukan pelabur dan disebabkan itu saya fikir, kita berada di kedudukan agak baik,” katanya.

(Visited 1 times, 1 visits today)

COMMENTS