Kedah kekal 12 Jemaah Solat Jumaat dalam tempoh PKPP.
Kedah kekal 12 Jemaah Solat Jumaat dalam tempoh PKPP.

Kedah kekal 12 Jemaah Solat Jumaat dalam tempoh PKPP.

Alor Setar – Solat Jumaat di masjid seluruh Kedah dikekalkan kepada 12 jemaah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengarah Jabatan Agama Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud berkata, jemaah berkenaan masih terdiri daripada pegawai masjid dan jawatankuasa kariah.

“Dukacita dimaklumkan bahawa pelaksanaan solat Jumaat di masjid di negeri ini pada masa ini dikekalkan seperti tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mengehadkan jumlah jemaah solat Jumaat 12 orang terdiri daripada pegawai masjid dan jawatankuasa kariah.

“Sehubungan itu, dipohon Pegawai Agama Daerah untuk memaklumkan kepada masjid di bawah pentadbiran berkaitan perkara itu sehingga dikeluarkan arahan terbaru,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Pada 18 Mei lalu, Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang berkata Kedah membenarkan hanya 12 jemaah menunaikan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri di masjid seluruh negeri itu sepanjang tempoh PKPB.

Katanya, perkara itu diputuskan selepas mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkuat kuasa 22 Mei.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri mengumumkan semua masjid, surau jumaat dan surau dalam zon hijau di Wilayah Persekutuan akan dibuka bermula esok.

(Visited 1 times, 1 visits today)

COMMENTS