Kedah laung 'AMARAN' pada JDT
Kedah laung ‘AMARAN’ pada JDT

Kedah laung ‘AMARAN’ pada JDT

Naib juara Liga Super musim lalu, Kedah Darul Aman optimis tentang persediaan mereka musim ini mampu memberi persaingan sengit kepada juara Piala Sumbangsih 2022, Johor Darul Takzim untuk merampas trofi kejuaraan liga musim ini.

Khamal Idris Ali selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kedah melaungkan keyakinan diri beliau mengenai misi tersebut dilihat realistik dan mampu untuk direalisasikan para pemain musim ini yang dilihat mempunyai kualiti tersendiri terutama dalam kalangan pemain muda berbakat dan pemain import yang berpengalaman dalam pasukan tersebut.

“Insya-ALLAH, berdasarkan dalam kalangan pemain yang pasukan Kedah Darul Aman miliki pada ketika ini, saya percaya pasukan mampu memberi tentangan sengit kepada penyandang juara Liga Super, JDT.

“Sebab saya lihat ketika ini pun, kita pening untuk memilih kesebelasan utama pasukan sehingga jurulatih kerap melakukan penggiliran dalam kalangan pemain. Jadi ini menunjukkan ada persaingan sihat dalam pasukan ini.

“Malah para pemain yang kita ada ketika ini kebanyakannya berpengalaman dan muda serta tidak terlalu tua. Jadi saya yakin pengalaman yang dimiliki mereka ini akan membantu pasukan untuk mencipta keputusan yang positif dalam setiap perlawanan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Sebelum ini media tersebut juga ada melaporkan selain Kedah, dua lagi pasukan yang dilihat mampu untuk menggugat skuad Harimau Selatan ialah Terengganu dan Selangor menerusi pendapat bekas pemain kebangsaan, Lim Chan Yew.

Untuk rekod, musim lalu skuad kendalian Aidil Sharin ini menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua setelah mengutip 43 mata hasil 13 kemenangan empat seri dan lima kalah.

Ketika ditanya CEO Kedah tersebut mengenai sasaran pasukan musim ini dalam saingan Piala AFC, beliau berkata untuk ketika ini pengurusan masih belum meletakkan apa-apa sasaran spesifik buat skuad yang berpangkalan di utara negara itu.

Malam ini, Kedah bakal bertemu Sarawak United di gelanggang lawan untuk aksi pertama Liga Super yang sudah membuka tirai kejohanan dan sasaran tiga mata pastinya menjadi azam buat pasukan ini untuk mengekalkan status mereka selaku salah satu pasukan terbaik negara dan memenuhi jangkaan kebanyakan pihak.-SH

(Visited 17 times, 1 visits today)

COMMENTS