KEDAH LULUSKAN RM12.785 JUTA SETAKAT HARI INI BANTU RAKYAT TERJEJAS, PERANGI COVID 19 .
KEDAH LULUSKAN RM12.785 JUTA SETAKAT HARI INI BANTU RAKYAT TERJEJAS, PERANGI COVID 19 .

KEDAH LULUSKAN RM12.785 JUTA SETAKAT HARI INI BANTU RAKYAT TERJEJAS, PERANGI COVID 19 .

ALOR SETAR – Sehingga ke hari ini, sebanyak RM12.785 juta telah diluluskan kerajaan negeri sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menangani pandemik COVID-19.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir berkata, perbelanjaan itu antaranya merangkumi bantuan keperluan asas di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) dan DUN angkat berjumlah RM3.6 juta bagi membantu mereka yang terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

Selain itu katanya, sejumlah RM110,000 dibelanjakan untuk keperluan ‘food bank’ bagi pelajar terkandas di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua’adzam Shah (UniSHAMS), Universiti Utara Malaysia (UUM) serta pelajar anak Kedah di Mesir dan Jordan.

“Selain itu sebanyak RM1.185 juta peruntukan diluluskan ini, digunakan bagi memberi bantuan sokongan seperti ‘hand sanitizer’ dan ‘face mask’ kepada petugas barisan depan antaranya doktor, jururawat, polis serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Di samping itu, sebanyak RM430,000 disumbangkan kerajaan negeri untuk memberi bantuan peralatan dan perubatan kepada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi memerangi pandemik itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Selesai mesyuarat itu, Mukhriz turut menyerahkan cek bernilai RM430,000 tersebut kepada Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Negeri, Dr. Shahrul Bariyah Ahmad.

Wang bernilai RM430,000 itu adalah untuk pembekalan dua unit alat Mechanical Cardiopulmonary Resuscitation (CPR), masing-masing seunit Video Larygeal Scope, Portable High-Efficiency Particulate Air (HEPA) dan Defibrillator With Patient Minitor (Defibmonitor) serta tujuh unit Syringe Pump.

Sementara itu Mukhriz berkata, laporan diterima dalam mesyuarat itu menyatakan sehingga pukul 12 tengah hari tadi, terdapat 52 kes positif COVID-19 di Kedah.

“48 daripadanya melibatkan jemaah tabligh yang balik dari himpunan di Masjid Seri Petaling sebelum ini. Jadi kita merayu kepada anggota tabligh terlibat supaya segera melakukan ujian saringan kerana dibimbangi membawa jangkitan kepada kaum keluarga serta rakan-rakan rapat,” ujarnya.

Tambahnya, ketika ini pematuhan kawalan pergerakan PKP di Kedah adalah pada tahap 87 peratus.

“Ini satu angka yang agak positif. Namun di sebaliknya, masih ada 13 peratus yang bergerak merata tempat seolah-olah tidak mematuhi perintah tersebut.

“Oleh itu kita harap agar rakyat Kedah dapat mematuhi perintah ini dengan tidak kerap berlegar di luar jika tiada urusan penting,” katanya.

(Visited 1 times, 1 visits today)

COMMENTS